TheMalaysiaTime

Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter

2026-03-03 - 06:03

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 2026 pada 4.0-4.5% walaupun berlaku konflik di Timur Tengah. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kerajaan akan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter dan tiada rancangan untuk sebarang perubahan drastik terhadap harga atau dasar semasa, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir. Beliau berkata, konflik Timur Tengah semasa tidak menunjukkan petunjuk kukuh untuk kerajaan membuat perubahan drastik terhadap dasar sedia ada. “Kementerian kami sedang memerhatikan dengan teliti apa yang berlaku (di Timur Tengah), tetapi tiada petunjuk untuk kerajaan membuat sebarang perubahan drastik dari segi dasar. “Kerajaan telah melaksanakan subsidi disasarkan dan terus mengekalkan harga RON95 yang munasabah untuk orang ramai,” katanya selepas menghadiri Forum CEO OGSE100 2026. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 1 Mac lalu berkata, kerajaan akan cuba mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia meskipun terdapat ketidakpastian pasaran global susulan serangan AS-Israel ke atas Iran. Anwar berkata, Malaysia akan terjejas dengan kenaikan harga minyak global susulan gangguan laluan perkapalan penting di Selat Hormuz, tetapi kerajaan bertekad mengekalkan harga subsidi RON95 bawah program BUDI95. Menteri kewangan itu berkata, pasaran berada di luar kawalan kerajaan dan ia tidak dapat menjamin tiada kenaikan harga. Akmal berkata, kerajaan turut mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 2026 pada 4.0-4.5% meskipun konflik tercetus di Timur Tengah. “Jika perlukan pelarasan, Bank Negara akan membuatnya, tetapi buat masa ini, kami sedang meneruskan sasaran pertumbuhan 2026 kami.”

Share this post: