Kerajaan digesa permudah laluan kakitangan paramedikal naik pangkat
2026-03-19 - 00:40
Bagi pembantu pergigian, jururawat masyarakat dan pembantu kesihatan awam, laluan naik pangkat adalah panjang dan sukar. PETALING JAYA: Kerajaan disaran memperkemas laluan kenaikan pangkat bagi kakitangan paramedikal, sama seperti yang dilaksanakan untuk kira-kira 125,000 penjawat awam gred rendah dalam kumpulan pentadbiran. Seorang bekas senator memberitahu FMT, sebahagian besar pembantu pergigian, jururawat masyarakat dan pembantu kesihatan awam berada dalam kategori terendah, iaitu U1 dalam skim perkhidmatan kesihatan. Dr RA Lingeshwaran berkata, walaupun ketiga-tiga kategori kakitangan kesihatan ini memasuki perkhidmatan awam dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka perlu menjalani latihan khas selama satu hingga dua tahun setengah untuk mendapatkan jawatan tetap. Sebaliknya, mereka yang menyertai perkhidmatan perkeranian hanya memerlukan kelulusan SPM dan tidak perlu melalui latihan untuk mendapat lantikan tetap, kata bekas pengarah Hospital Sungai Bakap itu. “Walaupun mereka (kakitangan paramedikal) menyambut baik perancangan kerajaan untuk kakitangan perkeranian dan pentadbiran, mereka rasa mereka juga patut nikmati skim kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan (time-based) untuk naik ke gred U5,” kata Lingeshwaran, yang bertemu wakil-wakil kesatuan awal minggu ini. Kesatuan pembantu pergigian, jururawat masyarakat dan pembantu kesihatan awam telah menyerahkan satu memorandum, yang menurut bekas senator itu akan dipanjangkan kepada Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad. Sementara itu Presiden Kesatuan Bidan dan Jururawat Masyarakat Nurul Janah Yusof berkata, ketika ini terdapat 17,000 jururawat masyarakat sedang berkhidmat, dengan sekurang-kurangnya 10,000 masih berada di gred U1 walaupun telah berkhidmat selama 10 hingga 15 tahun. “Laluan kami untuk naik ke gred U5 adalah panjang dan sukar. Kami perlu tunggu sekurang-kurangnya lima tahun sebelum layak mohon kursus khas selama setahun untuk dimasukkan ke dalam senarai kenaikan pangkat,” katanya. “Kebanyakannya terpaksa tunggu antara lima hingga 10 tahun untuk dipilih ikuti kursus tersebut. Malah selepas tamat kursus itu sekalipun, tempoh menunggu untuk dilantik ke gred U5 boleh ambil masa beberapa tahun.” Tambahnya, dalam sesetengah kes, terdapat jururawat masyarakat yang kekal di gred U1 walaupun sudah berkhidmat selama 20 tahun. “Kami perlukan skim yang lebih baik dan pantas untuk naik pangkat. Proses sekarang terlalu sukar dan perlahan,” katanya. Pada masa ini, terdapat kira-kira 4,600 pembantu pergigian dan 4,200 pembantu kesihatan awam berstatus gred U1. Minggu lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membangunkan laluan kenaikan pangkat yang lebih jelas dan berstruktur untuk penjawat awam Gred 1, khususnya bagi pembantu tadbir, perkeranian dan kewangan. Anwar berkata, laluan kenaikan pangkat itu sedang dirangka dengan syarat yang munasabah, termasuk tempoh perkhidmatan yang ditetapkan dan kursus pengkhususan selama beberapa minggu bertujuan untuk meningkatkan kemahiran.