Kerajaan digesa percepat pelaksanaan biodiesel B20
2026-03-28 - 09:00
Malaysia berpotensi mengurangkan bil import bahan api serta menyediakan penampan terhadap lonjakan harga global dengan menggantikan 20% diesel import kepada biodiesel sawit tempatan, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok. PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan biodiesel sawit B20 bagi menangani kenaikan mendadak harga bahan api. Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata pelaksanaan biodiesel kini menjadi instrumen ekonomi yang kritikal untuk menyediakan alternatif tempatan yang lebih stabil, dan bukan lagi sekadar matlamat alam sekitar. “Ia sekali gus melindungi ekonomi negara daripada ketidaktentuan melampau pasaran minyak mentah global,” menurut kenyataan. Menurutnya, program biodiesel B20 bagi sektor pengangkutan bermula pada Jan 2020 serta dilancarkan pada Februari tahun sama, dan dijadualkan untuk diperluaskan ke Sarawak pada April 2020, Sabah pada Ogos tahun sama, dan Semenanjung menjelang Jun 2021. “Namun, kerajaan telah berulang kali menangguhkan pelaksanaan tersebut,” katanya. “Hari ini, seluruh negara berdepan krisis kos sara hidup yang dipacu oleh harga bahan api kerana kekurangan keazaman politik untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import yang mahal.” Justeru bekas menteri peladangan dan komoditi ini menggesa Kementerian Kewangan (MoF) supaya segera menilai semula dan mempercepatkan pembiayaan serta pembinaan depot pencampuran biodiesel B20, serta mengkaji semula projek pembinaan depot yang tergendala. “Tanpa depot-depot ini, kita tidak dapat mencampurkan minyak sawit ke dalam bekalan bahan api secara besar-besaran. Kelewatan kerajaan untuk melabur dalam prasarana ini punca kita terpaksa menanggung beban harga tinggi hari ini,” katanya. Beliau berkata penggunaan ‘palm methyl ester (PME)’ sebagai biodiesel tempatan juga mampu menyokong industri sawit negara dan pekebun tempatan. Menurutnya, Malaysia berpotensi mengurangkan bil import bahan api serta menyediakan penampan terhadap lonjakan harga global dengan menggantikan 20% diesel import kepada biodiesel sawit tempatan. “Setiap liter minyak sawit yang kita campurkan bermakna satu liter diesel import yang mahal tidak perlu dibeli,” katanya.