Kerajaan diberi amaran tak halang kebebasan bersuara selepas CEO C4 disoal siasat
2026-03-11 - 03:25
CEO Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme Pushpan Murugiah disoal siasat Bukit Aman semalam berhubung siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen. PETALING JAYA: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak mencabuli hak kebebasan bersuara selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Pushpan Murugiah, disoal siasat Bukit Aman semalam. Menurutnya, Pushpan disoal siasat kira-kira sejam setengah berkaitan siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen. “Kandungan soalan dikemukakan mendedahkan beberapa isu membimbangkan berhubung perspektif polis terhadap kebebasan bersuara aktivis dan pengulas politik,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, beberapa individu turut dipanggil ke Bukit Aman, termasuk pengulas politik dan ahli akademik. “Siasatan itu tertumpu dakwaan individu berkuasa tinggi cuba menggulingkan kerajaan melalui pakatan sulit dengan pihak asing.” C4 berkata, Pushpan dikatakan disoal siasat polis kerana namanya muncul dalam e-mel didakwa ada kaitan dengan kesalahan sedang disiasat. “Namun, bentuk soalan diajukan melangkaui e-mel itu. Soalan dikemukakan kepada Pushpan bagi meneliti operasi dan autonomi C4, dengan pertanyaan mengenai sumber pembiayaan serta sama ada organisasi itu menerima arahan untuk menyatakan atau melakukan perkara tertentu. “Beliau turut dipersoalkan berhubung hak C4 mengulas isu berkepentingan awam dan tadbir urus negara, dengan pegawai mempersoalkan kedudukan kami untuk membuat komen sedemikian.” Katanya, soal siasat polis menimbulkan kebimbangan lebih mendalam, mencerminkan amalan pentadbiran terdahulu menggunakan undang-undang untuk menghalang pendapat berbeza. Ia menggesa masyarakat sivil tampil mempertahankan kebebasan bagi mengelakkan ia terus merosot dan menyeru kerajaan menegaskan undang-undang jenayah tidak akan digunakan bagi menghalang kebebasan bersuara, perbezaan pendapat politik serta kritikan adil terhadap pentadbiran. “Insiden ini perlu dilihat sebagai amaran awal untuk kebebasan bersuara dan tidak boleh menjadi pendahulu penindasan lebih ketat pada masa depan.” C4 berkata, sejak penubuhannya pada 2014, ia mengekalkan pendirian tidak berpihak walaupun berlaku pertukaran kerajaan. “Kami tidak akan menjadi jurucakap kepada agenda orang lain kerana peranan kami adalah memperjuangkan kepentingan awam negara.” Jumaat lalu, tiga ahli keluarga bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan peguam mereka memfailkan saman terhadap kerajaan bagi menghentikan siasatan polis terhadap dakwaan rancangan untuk menggulingkan kerajaan.