Kerajaan dapat penangguhan bayaran pampasan RM3 juta kes kehilangan Amri Che Mat
2026-03-11 - 09:15
Isteri Amri Che Mat, Norhayati Ariffin setuju dengan permohonan penangguhan bayaran pampasan itu kerana ia membabitkan penggunaan wang awam. KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan menangguhkan pembayaran pampasan RM3 juta yang sebelum ini diberikan kepada keluarga aktivis Amri Che Mat berhubung kehilangannya kira-kira 10 tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman Zalita Zaidan membenarkan permohonan kerajaan supaya pelaksanaan keputusan itu ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan. Ini bermakna bayaran pampasan kepada isteri Amri, Norhayati Ariffin, tidak perlu dibuat buat masa ini sehingga rayuan itu diputuskan. Terdahulu, peguam Surendra Ananth yang mewakili Norhayati memaklumkan anak guamnya setuju dengan permohonan penangguhan itu kerana ia melibatkan penggunaan wang awam. Bagaimanapun, Surendra menegaskan siasatan terhadap kehilangan Amri perlu diteruskan tanpa mengira keputusan rayuan terbabit. Menurutnya, meneruskan siasatan tidak akan menjejaskan rayuan difailkan kerajaan dan polis. Dalam keputusan sama, Zalita turut memutuskan mahkamah tidak akan mengarahkan siasatan kes kehilangan Amri dimulakan semula. Beliau berkata mahkamah tidak mempunyai kuasa menentukan pelantikan atau penukaran pegawai menjalankan siasatan kes terbabit. Dalam prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin mewakili kerajaan dan polis. Mahkamah Tinggi tahun lalu memutuskan polis bertanggungjawab kerana gagal melaksanakan tugas mereka mengikut undang-undang dan bertindak secara tidak berperlembagaan dalam mengendalikan kes kehilangan Amri. Mahkamah ketika itu memerintahkan kerajaan dan polis membayar pampasan kepada Norhayati sebanyak RM2 juta sebagai ganti rugi am, RM1 juta ganti rugi teladan, serta ganti rugi khas berjumlah RM14,457.52. Dalam penghakiman itu, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Su Tiang Joo, turut mempersoalkan perkembangan siasatan polis terhadap kehilangan Amri yang berlarutan lebih enam tahun tanpa jawapan jelas. Beliau juga menyatakan pegawai penyiasat kes itu, Khor Yi Shuen, memaklumkan beliau tidak lagi mengendalikan kes berkenaan selepas dipindahkan dari Perlis pada 2019. Amri, pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perlis Hope, dilaporkan meninggalkan rumahnya kira-kira jam 11.30 malam pada 24 Nov 2016. Kenderaannya kemudian ditemui di sebuah tapak pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang, Perlis, pada awal pagi keesokan harinya.