TheMalaysiaTime

Kerajaan cuba kekal RON95 RM1.99 walau ‘petanda tak menyenangkan’

2026-03-06 - 07:43

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata harga RON95 akan cuba dikekalkan dan kerajaan akan ambil langkah segera jika konflik di Asia Barat berlarutan kerana berpotensi beri kesan langsung kepada ekonomi negara. PUTRAJAYA: Kerajaan akan cuba mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter walaupun keadaan semasa hanya mampu bertahan untuk tempoh satu hingga dua bulan. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata konflik di Timur Tengah menunjukkan petanda awal yang tidak menyenangkan kepada ekonomi global. Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat termasuk penjawat awam, pekerja swasta dan peniaga berwaspada dan tidak memandang ringan perkembangan tersebut. “Jangan pandang ringan kerana jika keadaan ini berterusan, ia boleh menjadi satu krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka,” katanya ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Musolla IOI City Mall. Mengulas lanjut, Anwar memberi jaminan kerajaan akan mengambil langkah segera jika konflik di Asia Barat berlarutan kerana ia berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi negara. Katanya, kesan itu sukar dielakkan kerana kos barangan dan import bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya barangan makanan, dijangka meningkat. “Dalam keadaan sekarang, sementara ini nampak masih terkawal. Tetapi kita tahu kapal-kapal minyak dan gas serta peralatan berkaitan tersangkut di Selat Hormuz sudah melebihi 200 kapal. “Ini tentunya menjejaskan perniagaan dan perdagangan, selain meningkatkan kos pengangkutan kerana laluan lebih jauh terpaksa digunakan,” katanya. Sabtu lalu, Iran memberi amaran kepada kapal-kapal supaya tidak melalui Selat Hormuz susulan serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel. Kawasan itu adalah laluan penting bagi sebahagian besar bekalan minyak dan gas dunia dari Teluk Parsi. Sebarang gangguan terhadap aktiviti perkapalan di selat berkenaan boleh mengecilkan bekalan tenaga global dan menyebabkan harga melonjak. Konflik terus memuncak sejak serangan pada Sabtu, dengan Iran dilaporkan membalas menggunakan peluru berpandu terhadap pangkalan AS di Asia Barat, bandar di Israel serta kapal tangki minyak yang mempunyai kaitan dengan negara Barat.

Share this post: