Kerajaan berdepan pilihan sukar ketika beban subsidi meningkat, kata pakar
2026-03-26 - 11:01
Subsidi BUDI95 bersama peningkatan bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah dan pembayaran Budi Madani telah membantu meredakan sebahagian tekanan kos ditanggung isi rumah. PETALING JAYA: Beban subsidi bahan api yang meningkat dengan pantas akibat kenaikan harga minyak global meletakkan Putrajaya dalam kedudukan sukar untuk menyeimbangkan tekanan kos dengan realiti politik, kata seorang penganalisis. Dalam penulisannya di Fulcrum, ahli ekonomi Lee Hwok-Aun menyatakan sistem semasa memberikan kelegaan jangka pendek tetapi kini semakin tertekan susulan kejutan luaran yan mendorong kos naik. “Subsidi berkaitan bahan api meningkat daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion sebulan,” katanya sambil memberi amaran ‘kos akan terus meningkat selagi Selat Hormuz kekal tersekat’. Kenaikan harga minyak global, didorong oleh konflik yang berterusan di Asia Barat, telah menaikkan harga Brent melebihi USD100 setong, naik mendadak daripada sekitar USD70 beberapa minggu lalu. Sebagai tindak balas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter selama dua bulan di bawah program BUDI95, meringankan beban majoriti pemandu Malaysia. Lee, seorang penyelidik kanan di ISEAS-Yusof Ishak Institute mengakui langkah itu bersama kenaikan bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah dan pembayaran Budi Madani – memberi kesan segera kepada isi rumah. “Langkah-langkah itu akan membantu meringankan beban kos meningkat buat sementara waktu,” katanya. Namun, Lee menegaskan rangka kerja subsidi secara keseluruhan sedang menghadapi tekanan yang semakin meningkat, terutama kerana Malaysia masih bergantung kepada minyak mentah import. “Loji penapisan tempatan Malaysia bergantung pada minyak mentah dari negara di Teluk dan ini memberi gambaran suram tentang bekalan serta harga masa depan,” katanya. Lee juga menekankan kesan berantai kepada ekonomi, termasuk tekanan kenaikan kos diesel ke atas pengusaha pelancongan serta risiko penyeludupan bahan api di Sabah dan Sarawak apabila jurang harga dengan negara jiran semakin melebar. Bagaimanapun, Lee menyatakan kerajaan mempunyai ruang yang terhad untuk bertindak kerana kekangan politik. “Pentadbiran Madani secara politik terikat dengan rejim subsidi buat masa ini,” katanya sambil menegaskan bahan api subsidi adalah ‘sebahagian daripada kehidupan’. Menurutnya, kenaikan harga secara drastik akan menjadi beban kewangan serta ‘bunuh diri politik’. Beliau menambah Malaysia telah lama menyesuaikan harga bagi bahan api tidak bersubsidi, tetapi petrol bersubsidi hampir tidak disentuh. “Semakan harga secara berkala untuk bahan api tidak bersubsidi sudah menjadi norma, melakukan perkara sama untuk bahan api bersubsidi sukar tetapi tidak mustahil,” katanya. Lee mencadangkan pendekatan lebih fleksibel untuk membantu kerajaan menguruskan turun naik harga minyak dengan lebih berkesan. “Salah satu cara untuk menghadapi pasaran minyak yang tidak menentu ialah mengalih subsidi kepada harga bersesuaian dengan pasaran berbanding kekakuan bertahun-tahun,” katanya, sambil menyatakan harga RON95 sebelum ini kekal tetap untuk tempoh panjang. Di bawah sistem itu, tahap subsidi boleh disesuaikan mengikut keadaan pasaran. Sebagai contoh, subsidi 30% akan menjadikan harga pam sekitar RM2.29 seliter, mengurangkan bil subsidi kerajaan kira-kira 23%. “Jika harga minyak global turun, harga bersubsidi akan menyesuaikan secara automatik ke bawah,” tambahnya. Lee berkata kerajaan juga boleh meneroka cara alternatif untuk berkongsi beban, termasuk sumbangan daripada syarikat minyak yang mendapat keuntungan lebih tinggi. “Salah satu kemungkinan ialah syarikat minyak yang beroperasi di Malaysia, terutamanya Petronas, menyalurkan sebahagian keuntungan luar biasa mereka untuk membantu menampung bil subsidi yang meningkat,” katanya sambil menegaskan kos subsidi dan hasil minyak biasanya bergerak seiring. Lee menegaskan kerajaan tidak harus terburu-buru membuat keputusan dasar tetap. “Masih terlalu awal untuk membuat keputusan konkrit mengenai tanggung beban subsidi, tetapi langkah bijak untuk mula mempertimbangkan pilihan ada,” katanya sambil menambah sebarang penyesuaian mesti disampaikan dengan teliti kepada rakyat. Katanya, langkah-langkah itu boleh dilihat sebagai respons perlu terhadap keadaan global yang berada di luar kawalan Malaysia, sambil memastikan kerajaan terus menampung sebahagian besar kos bahan api. “Malaysia telah menampung impak kenaikan harga minyak untuk rakyat buat masa ini tetapi menghadapi cabaran terhadap keberlanjutan rejim subsidi bahan api,” katanya. “Kerajaan Madani harus mempertimbangkan untuk menambah kelenturan kepada sistem, membolehkan perlindungan sosial dan kewangan yang berhati-hati dalam dunia tidak menentu dan mudah berubah.”