Kerajaan ambil langkah elak pelabuhan sesak, kata Loke
2026-03-10 - 05:34
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menemui pihak pengurusan pelabuhan, syarikat perkapalan dan pihak berkuasa industri maritim bagi membincangkan langkah mitigasi pagi tadi. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Kerajaan sedang mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan kesesakan di pelabuhan Malaysia sebagai sebahagian usaha mengurangkan kesan ketegangan semakin teruk di Timur Tengah antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran. Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata beliau menemui pihak pengurusan pelabuhan, syarikat perkapalan dan pihak berkuasa industri maritim pagi tadi untuk membincangkan langkah mitigasi susulan konflik yang menjejaskan pergerakan maritim di Selat Hormuz akibat sekatan Iran. Menurutnya, berdasarkan pengalaman lalu, krisis sedemikian sering menyebabkan kesesakan di pelabuhan tempatan kerana kontena ke zon konflik dibiarkan syarikat perkapalan, sekali gus menjejaskan operasi harian import, eksport dan seterusnya kilang tempatan. “Sebagai langkah awal untuk mengelakkan situasi ini, kerajaan akan mempermudah pemindahan kontena kosong dari kawasan pelabuhan, manakala pihak pengurusan pelabuhan akan melaksanakan pemeriksaan lebih menyeluruh agar kontena yang destinasinya tidak jelas tidak diturunkan di pelabuhan kita. “Kementerian Pengangkutan juga mengambil maklum cabaran kos bahan api dihadapi pelabuhan kita dan akan bekerjasama untuk mewujudkan mekanisme bagi menangani isu sedemikian semasa berlakunya krisis,” katanya dalam catatan Facebook. Jelasnya, kerajaan juga berusaha membantu kapal Malaysia yang terkandas di Timur Tengah akibat risiko serangan, jika mereka belayar. “Dalam menghadapi krisis nasional, semua pemegang taruh mesti bekerjasama dan saling membantu untuk melindungi kepentingan negara.” Terdahulu, Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menubuhkan pasukan petugas krisis eksport untuk menangani potensi gangguan perkapalan global akibat konflik Iran-AS-Israel dan ketidakstabilan di sekitar Selat Hormuz. Presiden FMM, Jacob Lee dilaporkan berkata, negara seperti India dan Korea Selatan sudah melaksanakan mekanisme penyelarasan sama untuk melindungi aliran eksport ketika berlaku gangguan perdagangan global. Katanya, pasukan petugas itu akan menjadi platform khusus kerajaan dan industri untuk menyediakan maklumat masa nyata berhubung kadar tambang serta laluan penghantaran, menyelaras respons kerajaan dan industri serta memperkenalkan langkah sokongan kepada pengeksport berdepan kos lebih tinggi atau kelewatan penghantaran.