Kerajaan akan teliti WFH untuk penjawat awam
2026-03-12 - 09:04
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kerajaan maklum bahawa selepas wabak, segelintir syarikat laksana kaedah kerja hibrid menerusi aturan WFH. PETALING JAYA: Kerajaan akan meneliti cadangan kesesuaian pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) bagi sektor awam dan berkemungkinan akan membincangkannya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas esok. Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, kerajaan maklum bahawa selepas wabak, segelintir syarikat telah melaksanakan kaedah kerja hibrid menerusi aturan WFH. “Di pihak kerajaan, kita akan meneliti kesesuaian WFH ini, mungkin akan dibincangkan esok dalam mesyuarat khas. “Mula-mula, kita akan teliti apa keadaan ekonomi dunia. Kita akan teliti dulu angka-angka dan apa tindakan kerajaan,” kata menteri komunikasi itu kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian hari ini, lapor Bernama. Fahmi berkata demikian mengulas langkah Thailand melaksanakan WFH untuk agensi kerajaan dan perusahaan negeri bagi mengurangkan penggunaan tenaga ketika ketegangan geopolitik berlarutan di Asia Barat. Sementara itu, Fahmi berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri Khas diadakan bagi membolehkan tindakan diselaraskan berdasarkan maklumat ekonomi terkini. Katnya, antara perkara yang akan diteliti termasuk perkembangan harga minyak mentah Brent, harga bahan api penerbangan serta beberapa indikator ekonomi lain. “Dengan maklumat terkini ini, kita akan dapat selaraskan apa tindakan kerajaan, termasuk mengawal dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu,” katanya. Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan akan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus diberi sokongan memandangkan sektor itu merupakan nadi ekonomi negara, termasuk yang terlibat dalam eksport serta pengeluaran perkhidmatan dan barangan dalam negara. Langkah kerajaan termasuk usaha untuk menyokong PMKS juga akan diputuskan selepas mengambil kira keseluruhan keadaan ekonomi dalam negara, katanya. “Kita tidak mahu ambil tindakan tanpa mengetahui kesan tindakan. Kita tidak mahu merencatkan pertumbuhan,” katanya menegaskan bekalan barangan asas serta bahan api seperti RON95 ketika ini mencukupi dan negara tidak hadapi sebarang masalah. Krisis Asia Barat tercetus pada 28 Feb apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran, menyebabkan Iran bertindak balas dengan menyerang kepentingan AS di rantau itu. Iran kini turut mewajibkan kapal tangki yang menggunakan Selat Hormuz, laluan utama tenaga global, mendapatkan kelulusan daripadanya dan berikrar tidak akan membenarkan kapal tangki AS dan sekutunya melalui laluan itu.