TheMalaysiaTime

Keputusan kurang insentif gula akan diumum dalam masa terdekat

2026-02-09 - 08:46

Harga runcit gula putih di Malaysia ketika ini adalah RM2.85 sekilogram, antara yang terendah di Asean malah peringkat global. (Gambar Envanto Elements) PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengumumkan keputusan berhubung pengurangan insentif gula bagi pengilang gula tempatan dalam masa terdekat. Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata, pemberian insentif gula yang bersifat sementara itu kini berada sedang dikaji semula KPDN dan Kementerian Kewangan. “Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memuktamadkan hala tuju baharu struktur harga gula putih bertapis,” katanya di Dewan Rakyat. “Perlu dilaksanakan secara berperingkat. Tak mahu (laksanakan) sekaligus selepas penyasaran subsidi diesel dan petrol kerana akhirnya beri kesan kepada harga barang dan makanan.” Beliau berkata demikian menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang mencadangkan supaya subsidi gula dihapuskan semasa sesi perbahasan Titah Diraja. Pada 21 Jan lepas, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik bagi menyemak semula pemberian insentif gula itu, yang kini menelan belanja RM42 juta sebulan. Katanya, beberapa cadangan telah dikemukakan berhubung perkara itu, namun kerajaan belum memuktamadkan sebarang keputusan. Kerajaan memberikan insentif kewangan kepada pengilang gula tempatan sejak November 2023, bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan disalurkan secara berterusan. Langkah ini diambil sementara mekanisme terbaik berhubung harga dan pengeluaran gula dimuktamadkan. Harga runcit gula putih di Malaysia ketika ini adalah RM2.85 sekilogram, antara yang terendah di Asean malah peringkat global. Mengulas lanjut, Armizan berkata dari segi pelaksanaan, pemberian insentif gula itu adalah bersasar dan terhad kepada gula putih bertapis pek 1kg dan 2kg. Insentif gula itu tidak terpakai bagi gula yang digunakan oleh industri makanan dan minuman (F&B) berskala besar, tambahnya. “Fokus utama kerajaan adalah untuk mengekang kenaikan harga makanan dan kelangsungan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam perniagaan makanan dan minuman. “Daripada jumlah pengeluaran gula negara sebanyak 1.3 juta metrik tan setahun, kira-kira 700,000 metrik tan yang digunakan oleh industri F&B tidak menerima sebarang insentif. “Ini membuktikan kerajaan tidak menyokong penggunaan gula secara pukal oleh industri, sebaliknya hanya mengimbangi harga bagi kegunaan asas rakyat,” katanya.

Share this post: