TheMalaysiaTime

Kenaikan harga minyak global masih tetap jejas harga bahan api tanpa subsidi

2026-03-20 - 11:00

Azmi Hassan berkata, langkah bersasar seperti subsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI95 bantu ringankan impak kenaikan kos bahan api. PETALING JAYA: Walaupun Malaysia berstatus negara pengeluar minyak, kenaikan harga minyak global masih memberi kesan kepada harga bahan api tanpa subsidi di negara ini, kata seorang penganalisis. Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, peningkatan harga minyak global daripada USD60 (RM236) hingga USD65 setong sebelum ini kepada sekitar USD110 ketika ini menyebabkan pelarasan harga tidak lagi dapat dielak. Katanya, walaupun rakyat secara umumnya faham, harga bahan api naik disebabkan harga minyak global yang lebih tinggi, namun masih wujud persepsi bahawa harga tidak sepatutnya naik, memandangkan Malaysia negara pengeluar minyak. “Walaupun Malaysia mengeksport minyak mentah dan peroleh hasil, negara masih mengimport bahan api ditapis untuk kegunaan domestik, mendedahkannya kepada pergerakan harga global,” katanya, lapor Bernama. Azmi Hassan. Azmi berkata, langkah bersasar seperti subsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI95 membantu mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api. “Inisiatif seperti BUDI95 boleh mengawal kos logistik untuk rakyat biasa. Harga RM1.99 pada asasnya adalah untuk rakyat Malaysia,” katanya. Bagaimanapun, Azmi memberi amaran bahawa bil subsidi semasa, dianggarkan berjumlah RM3.2 bilion sebulan, mungkin tidak mampan untuk jangka masa panjang. “Kita tidak boleh nikmati RM1.99 selama-lamanya, dengan harga minyak naik di seluruh dunia,” katanya. Azmi berkata, Malaysia masih berada dalam kedudukan yang lebih kukuh berbanding sesetengah negara, menjelaskan bahawa ketidakcekapan di negara-negara pengeluar minyak yang lain telah menjejaskan sistem bekalan bahan api mereka. Perbezaan penetapan harga bahan api antara wilayah adalah berdasarkan corak penggunaan, katanya memberi contoh diesel kekal disubsidi di Sabah dan Sarawak disebabkan penggunaannya yang meluas. “Kerajaan masih kekalkan harga diesel lebih rendah di Sabah dan Sarawak kerana RON95 di Semenanjung dikekalkan pada RM1.99. “Diesel digunakan secara meluas di dua negeri itu, bukan sahaja untuk tujuan logistik tetapi juga oleh sektor swasta dan awam,” katanya. “Itulah sebabnya diesel dijual pada harga subsidi di Sabah dan Sarawak. Sebaliknya, di Semenanjung, bahan api yang digunakan secara meluas ialah petrol.” Azmi menegaskan, sebarang kenaikan harga diesel di Sabah dan Sarawak boleh membawa impak lebih besar terhadap kos sara hidup. “Jika terdapat kenaikan daripada (harga) RM2.15 di Sabah, walaupun 10 atau 20 sen, akan ada impak terhadap kos sara hidup kerana penggunaan diesel yang meluas dalam semua segmen kehidupan di Sabah dan Sarawak. “Kesannya akan jadi teruk di dua negeri itu dari segi kos sara hidup dan perbelanjaan yang lebih tinggi,” katanya. Pada 12 Mac, Kementerian Kewangan mengumumkan kenaikan harga bahan api tanpa subsidi di Semenanjung susulan peningkatan harga minyak global yang dicetuskan oleh konflik antara Amerika Syarat dengan Iran. Dari 12 hingga 18 Mac, harga runcit bagi RON97 naik 60 sen kepada RM3.85 seliter dan RON95 tanpa subsidi naik 60 sen kepada RM3.27 seliter, manakala diesel naik 80 sen kepada RM3.92 seliter. Dalam semakan terbaru berkuat kuasa 19 Mac hingga 25 Mac, harga RON97 terus meningkat kepada RM4.55 seliter, manakala diesel di Semenanjung naik kepada RM4.72 seliter. Harga RON95 tanpa subsidi tidak berubah pada RM3.27 seliter, dan harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Share this post: