TheMalaysiaTime

Kenaikan gred pembantu tadbir dibuat berperingkat, kata KSN

2026-03-10 - 07:35

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata antara syarat kelayakan ditetapkan ialah tempoh berkhidmat, kelayakan akademik serta penyertaan seseorang pembantu tadbir dalam kursus kenegaraan yang dikhususkan. (Gambar Bernama) PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mengesahkan kenaikan gred pembantu tadbir daripada Gred 1 kepada Gred 5, akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira pelbagai syarat kelayakan. Beliau berkata antara syarat kelayakan ditetapkan ialah tempoh berkhidmat, kelayakan akademik serta penyertaan seseorang pembantu tadbir dalam kursus kenegaraan yang dikhususkan. “Jadi, dalam masa enam bulan itu kalau dia (seseorang pembantu tadbir Gred 1) memenuhi semua syarat, dia akan dapat dinaikkan gred pada Januari tahun depan. “Kita akan buat ikut kumpulan, bukan 100,000 lebih (pembantu tadbir Gred 1 naik gred serentak pada Januari)... siapa yang menepati kriteria, kita akan naikkan dahulu,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas masjlis penyerahan bubur lambuk dan penyerahan Kenderaan Operasi Ringan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini. Shamsul Azri berkata inisiatif tersebut mencerminkan penghargaan kerajaan kepada jasa dan sumbangan kesemua pembantu tadbir (Perkeranian/Operasi) dan Pembantu Tadbir (Kewangan). “Ini merupakan berita baik untuk semua pembantu tadbir. Kita sentiasa menghargai mereka... insya-Allah,” katanya. Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyediakan laluan kenaikan pangkat bagi penjawat awam Gred 1 merangkumi kategori pembantu tadbir, pengkeranian dan kewangan selewat-lewatnya pada 1 Jan 2027. Anwar yang juga menteri kewangan berkata laluan khusus membabitkan 125,000 penjawat awam itu bertujuan membolehkan penjawat awam Gred 1 dinaikkan ke Gred 5 dengan syarat-syarat khas yang ditetapkan. Beliau berkata langkah berkenaan perlu dilaksanakan bagi membolehkan penjawat awam gred rendah mempunyai peluang kemajuan kerjaya di bawah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Terdahulu, Shamsul Azri menyempurnakan penyerahan 6,000 bubur lambuk kepada kementerian serta agensi dikenal pasti. Beliau turut menyaksikan penyerahan 40 unit Kenderaan Operasi Ringan jenis Toyota Hilux kepada JBPM. Ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan 200 unit Kenderaan Operasi Ringan diperoleh JBPM dengan nilai kontrak RM30.4 juta, yang dijangka selesai menjelang Ogos ini. Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan M Noor Azman Taib serta Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohammad.

Share this post: