Kenaikan diesel jejas pelancongan, pengusaha bas gesa intervensi segera
2026-03-18 - 01:14
Tanpa sokongan dasar bersesuaian daripada kerajaan pengusaha bas persiaran berdepan kesukaran mengekalkan kadar perkhidmatan yang kompetitif. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen seliter memberi tekanan besar kepada industri bas persiaran, dengan pengusaha memberi amaran ia boleh menjejaskan kelangsungan operasi serta daya saing sektor pelancongan negara. Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia), Abdul Aziz Ismail Gani, berkata peningkatan itu berlaku tanpa sebarang mekanisme sokongan khusus kepada industri pengangkutan pelancongan. Katanya, bahan api adalah komponen kos terbesar dalam operasi harian, menyebabkan kenaikan diesel memberi kesan langsung dan mendadak kepada perniagaan, terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana. “Industri bas persiaran adalah tulang belakang kepada ekosistem pelancongan negara, merangkumi pergerakan pelancong, sokongan kepada hotel, agensi pelancongan serta penganjuran acara,” katanya kepada FMT. Abdul Aziz Ismail Gani. Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga pam diesel di Semenanjung naik 80 sen seliter, menjadikan harga runcit diesel di Semenanjung cecah RM3.92 seliter bagi tempoh 12 Mac hingga 18 Mac. Bagaimanapun, harga diesel bersubsidi untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung masing-masing dikekalkan pada RM1.88 dan RM2.15 seliter. Sementara harga bersubsidi untuk rakyat di Sabah dan Sarawak dikekalkan pada RM2.15 seliter. Aziz berkata, justeru pihaknya menggesa kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah segera termasuk subsidi diesel bersasar kepada pengusaha berlesen, skim rebat berdasarkan penggunaan sebenar serta insentif cukai sementara. Beliau turut mencadangkan penubuhan dana sokongan khas dan dialog rasmi antara kerajaan serta wakil industri bagi merangka penyelesaian jangka panjang. “Pengusaha kekal komited menyokong pembangunan pelancongan negara, namun tanpa sokongan sewajarnya, tekanan kos ini boleh memberi kesan serius kepada kelangsungan industri dan keseluruhan rantaian ekonomi pelancongan,” katanya. Katanya, tanpa sokongan dasar bersesuaian daripada kerajaan, pengusaha berdepan kesukaran untuk mengekalkan kadar perkhidmatan yang kompetitif di pasaran. “Sekiranya situasi ini berterusan, pengusaha tidak mempunyai banyak pilihan selain menyesuaikan kadar sewaan bas bagi menampung peningkatan kos operasi. “Keadaan ini berpotensi meningkatkan kos pakej pelancongan dan boleh memberi kesan kepada daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan serantau,” katanya.