TheMalaysiaTime

Kementerian Pengangkutan rangka kertas dasar tangani kesesakan trafik

2026-03-11 - 13:14

Menurut menteri pengangkutan, data menunjukkan pemandu di ibu kota kerugian sehingga 84 jam setahun akibat kesesakan di jalan raya. PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan sedang merangka satu kertas dasar khusus bagi merancang hala tuju negara dalam menangani isu kesesakan jalan raya yang semakin meruncing, terutamanya di ibu negara. Menterinya, Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan indeks kesesakan trafik di Kuala Lumpur yang mencecah 43.4% tahun lepas. Menurutnya, data menunjukkan pemandu di ibu kota kerugian sehingga 84 jam setahun akibat kesesakan, apabila perjalanan sejauh 10km kini mengambil masa purata 18 minit. “Saya telah meminta supaya perkara ini diteliti dan satu kertas dasar disediakan bagi merangka hala tuju menangani kesesakan ini. “Diharap ia dapat menjadi panduan dalam merangka polisi yang lebih efektif,” katanya ketika berucap dalam majlis perhimpunan bulanan kementerian. Dalam perkembangan lain, Loke berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi telah meluluskan memorandum pembangunan Pelabuhan Pulau Carey, yang diterajui oleh kerajaan Selangor di bawah kawal selia kementerian. Katanya, kerajaan Selangor akan menubuhkan ‘Special Purpose Vehicle (SPV)’ bagi menarik pelaburan swasta untuk membina dan mengoperasikan pelabuhan tersebut. “Ini projek infrastruktur jangka panjang yang cukup strategik. Walaupun kita berdepan cabaran geopolitik dunia, ia tidak akan membantutkan pembangunan negara untuk terus mara,” katanya.

Share this post: