TheMalaysiaTime

Kementerian Komunikasi, Finas komited terus bangunkan sektor animasi

2026-03-13 - 02:24

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Persatuan Animasi Malaysia mempunyai lebih 5,000 ahli di seluruh negara dan antara sektor perfileman penting serta berpotensi tinggi termasuk untuk dieksport. KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk membantu pembangunan sektor animasi negara menerusi usaha yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata bagi tujuan itu, satu sesi libat urus akan diadakan oleh Finas selepas sambutan Aidilfitri. Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata satu pertemuan telah diadakan bersama Finas dan Persatuan Animasi Malaysia (Animas) di Menara Komunikasi, Putrajaya, semalam, bagi membincangkan isu-isu semasa penggiat industri animasi. “Perjumpaan yang baik, memberi peluang memahami lebih mendalam isu-isu yang dihadapi pemain industri animasi. Insya-Allah Finas akan mengatur satu sesi pertemuan libat urus selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya. Fahmi berkata Animas yang telah aktif sejak 2007 dan mempunyai lebih 5,000 ahli di seluruh negara, merupakan antara sektor perfileman penting dan berpotensi tinggi termasuk untuk dieksport. Mengambil contoh kejayaan filem animasi tempatan seperti ‘Papazola’, beliau berkata karya tersebut bukan sahaja berjaya mengutip lebih RM68 juta di pawagam seluruh negara, malah turut mendapat sambutan di Indonesia. “Insya-Allah, Kementerian Komunikasi dan khususnya Finas akan terus membantu pembangunan sektor animasi,” katanya.

Share this post: