TheMalaysiaTime

Kembali jiwai roh Ramadan, semangat bela nasib rakyat miskin, seru Anwar

2026-03-20 - 14:50

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata nilai dan semangat yang dibentuk daripada tarbiah Ramadan perlu diteruskan. KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar menyambut Aidilfitri secara sederhana, selain lebih peka terhadap nasib golongan yang menderita ketika dunia berdepan kemelut geopolitik, khususnya di Asia Barat. Beliau berkata Malaysia tidak terkecuali menerima tempias konflik di rantau berkenaan susulan serangan rejim Zionis Israel dengan dukungan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, yang kesannya turut merebak ke negara jiran. Anwar berkata Malaysia perlu lebih berwaspada kerana peperangan itu pastinya memberi impak dari segi harga minyak, harga barang, kos sara hidup dan tekanan terhadap ekonomi negara. “Jadi, sebab itulah sementara kerajaan akan berusaha sedaya upaya meringankan rakyat dari beban yang bakal ditimpa. Kita juga bertanggungjawab untuk kembali menjiwai roh Ramadan dan semangat membela nasib rakyat miskin,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Aidilfitri 2026, malam tadi. Anwar berkata beliau yakin dengan persiapan dan perancangan yang rapi, negara kekal optimis terhadap kedudukan ekonomi yang dicapai, terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini. “Kerajaan akan terus berusaha mempertahankan dan mengukuhkan kedudukan ini tatkala cabaran semakin meningkat,” katanya. Perdana menteri turut menegaskan Ramadan merupakan madrasah yang membentuk keperibadian melalui akhlak dan adab, hasil daripada ibadah yang dilaksanakan sepanjang bulan mulia itu. Beliau berkata nilai dan semangat yang dibentuk daripada tarbiah Ramadan perlu diteruskan bagi memperkukuh kekuatan dalaman umat Islam, yang menjadi prasyarat penting untuk Malaysia bergerak lebih pantas dan yakin ke depan. “Objektif puasa atau Maqasid al-Sawm yang dihuraikan ulama terkemuka, Imam al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam, mengandungi hikmah dan matlamat untuk menjadikan madrasah Ramadan sebagai asas kekuatan dalam membina peribadi serta membebaskan diri daripada belenggu nafsu melalui perjuangan rohaniah berterusan sebagai satu bentuk mujahadah,” katanya. Pada masa sama, perdana menteri mengingatkan rakyat supaya terus mempertahankan perpaduan dan keharmonian dalam menghadapi pelbagai pandangan, pendirian serta ujian dunia masa kini, sambil menegaskan bahawa kekuatan negara terletak pada kebulatan tekad, kesatuan hati, ‘wahdatul fikr’ dan ‘wahdatul amal’. Beliau berkata negara ini dibina atas asas kepelbagaian. Justeru, tradisi seperti ucapan selamat, mengeratkan silaturahim dan rumah terbuka ketika Aidilfitri yang disambut semua kaum perlu terus diperkukuh. “Pada hari kemenangan ini, marilah kita bulatkan tekad merealisasikan agenda Malaysia Madani sebagai landasan mengangkat martabat insan, menegakkan keadilan, mempertahankan prinsip kebenaran, serta memastikan kemakmuran dirasai bersama dan keselamatan negara terjamin.” Perdana menteri turut menyeru umat Islam meraikan Aidilfitri mengikut tradisi agama serta budaya masyarakat Melayu.

Share this post: