Keluarga Pastor Koh cabar rayuan kerajaan diarah serah laporan pasukan khas
2026-03-04 - 09:34
Susanna Liew berkata rayuan kerajaan itu bercanggah dengan jawapan parlimen Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkait semakan kehakiman Norhayati Arifin. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Keluarga Pastor Raymond Koh mahu mencabar rayuan kerajaan terhadap perintah mahkamah yang mengarahkan laporan pasukan khas yang diklasifikasikan sebagai sulit mengenai kehilangan lelaki itu diserahkan kepada isterinya. Keluarga berkenaan mahu mengemukakan bukti baharu dalam bentuk Hansard bertarikh 13 Nov 2025 yang mengandungi kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, mengenai laporan oleh pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan Koh dan aktivis Amri Che Mat. Pada 13 Nov, Saifuddin berkata kerajaan pada 2024 telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Putrajaya mendedahkan laporan yang diklasifikasikan sebagai sulit mengenai kehilangan Amri kepada isterinya, Norhayati Arifin. Beliau juga menyatakan bahawa Norhayati tidak sepatutnya dinafikan hak untuk mengakses laporan tersebut dalam samannya terhadap kerajaan. Dalam afidavit membantah rayuan tersebut, isteri Koh, Susanna Liew, berkata tindakan kerajaan yang berkeras untuk meneruskan rayuan terhadap perintah itu bercanggah dengan jawapan parlimen Saifuddin mengenai semakan kehakiman Norhayati. Rayuan kerajaan terhadap perintah itu akan didengar pada 1 April. Pada 24 Sept 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan menyerahkan salinan laporan pasukan petugas khas itu kepada isteri Koh, Susanna Liew, atas alasan laporan tersebut relevan dalam saman yang sedang berjalan terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan lelaki itu. Mahkamah kemudiannya memutuskan bahawa kerajaan bertanggungjawab dan mendapati bahawa seorang atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis dan bekas pegawai, telah bertindak mengikut arahan dalam penculikan Koh sembilan tahun lalu. Dalam tuntutan mahkamah Norhayati pula, Mahkamah Tinggi turut mendapati kerajaan dan polis bertanggungjawab kerana gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya terhadap kehilangan Amri.