TheMalaysiaTime

Keluarga Daim, peguam fail saman tuntut henti siasatan ‘guling kerajaan’

2026-03-06 - 11:03

Balu Daim Zainuddin, Naimah Khalid dan peguam Nizamuddin Hamid ketika ditemui wartawan pada Rabu lalu. Plaintif lain adalah dua anak Daim dan seorang lagi peguam. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Tiga ahli keluarga bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan peguam mereka memfailkan saman terhadap kerajaan bagi menghentikan siasatan polis terhadap dakwaan rancangan untuk menggulingkan kerajaan. Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, yang mewakili lima plaintif tersebut, berkata saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan menamakan perdana menteri, ketua polis negara (KPN), dan kerajaan sebagai defendan. “Sedia maklum bahawa siasatan yang dikatakan itu dibuat terhadap balu Daim, anak-anak lelaki dan dua peguamnya,” kata mereka dalam satu kenyataan. Plaintif dalam saman tersebut ialah balu Daim, Naimah Khalid, anak-anak mereka Amir dan Amin, serta peguam Amir Zharif Abdullah dan Nizamuddin Hamid. Mereka menuntut pengisytiharan bahawa siasatan oleh KPN dan kerajaan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan adalah menyalahi undang-undang, tidak mengikut perlembagaan, dicemari dengan niat jahat, dijalankan dengan tujuan tersembunyi, dan merupakan penyalahgunaan kuasa statutori. “Saman ini difailkan demi kepentingan awam, bagi mencabar penyalahgunaan kuasa dan untuk menghentikan dakwaan palsu mengenai ‘plot Zionis’ untuk menggulingkan kerajaan, yang kini sedang dijajakan kepada rakyat Malaysia,” kata peguam plaintif. Pada 27 Feb, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata Bukit Aman membuka siasatan berhubung dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan dan menggugat kestabilan negara, berdasarkan laporan polis yang dibuat pada hari sebelumnya. Menurut beliau, unit siasatan jenayah terkelas Bukit Aman sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang tokoh tempatan yang berpengaruh sedang bekerjasama dengan agensi media antarabangsa berkaitan perkara itu. Pada hari yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia sedang mengesan empat anak Daim iaitu Asnida, Amir, Amin dan Wira Dani, namun tiada butiran lanjut diberikan. Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kemudiannya berkata hanya seorang daripada empat individu tersebut telah menghubungi agensi itu, tetapi tidak mendedahkan identitinya. Pada Rabu, Nizamuddin, yang mewakili Naimah, menafikan dakwaan bahawa beliau cuba menjatuhkan kerajaan, dan menyifatkannya sebagai ‘pembohongan terbesar’.. Beliau juga mengesahkan bahawa beliau dan Amir Zharif, rakan kongsi firma guamannya, dinamakan dalam laporan polis sebagai menghadiri mesyuarat bersama Naimah, namun menafikan kewujudan sebarang plot untuk menjatuhkan kerajaan. Pada Selasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata gerakan tersebut dipercayai didorong oleh siasatan rasuah berskala besar yang dijalankan SPRM dan melibatkan kelompok ‘Zionis’, kumpulan lobi asing, ahli perbankan, dan agensi media antarabangsa.

Share this post: