TheMalaysiaTime

Kelantan arah kompleks beli-belah, pasar raya tutup operasi 1 Syawal

2026-03-11 - 07:06

Exco Kelantan Hilmi Abdullah berkata arahan itu turut terpakai pada hari pertama Aidiladha. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Semua kompleks beli-belah dan pasar raya di Kelantan perlu menutup operasi sepenuhnya pada 1 Syawal ini untuk pekerja meraikan Aidilfitri bersama keluarga. Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah ketika membuat pengumuman itu berkata, arahan berkenaan turut terpakai pada hari pertama Aidiladha. Bagi premis makanan segera dan kedai serbaneka pula, katanya, mereka dibenarkan beroperasi selepas 1 tengah hari pada hari pertama Aidilfitri. Beliau berkata, kompleks beli-belah dan pasar raya sebelum ini hanya diarahkan menutup operasi separuh hari pada 1 Syawal, tetapi kerajaan negeri bersetuju memberikan cuti penuh berdasarkan rayuan serta pandangan persatuan dan pekerja pasar raya. “Jika sebelum ini tutup separuh hari, pekerja pasar raya seolah-olah tidak dapat menikmati suasana beraya sepenuhnya bersama keluarga. “Langkah tersebut juga selari dengan usaha kerajaan negeri menghargai Aidilfitri sebagai hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di Kota Bharu. Hilmi berkata, kerajaan negeri juga sedia mempertimbangkan waktu operasi pada malam menjelang Aidilfitri dilanjutkan sehingga 12 tengah malam, jika ada permohonan daripada pasar raya atau kompleks beli-belah. “Lebih-lebih lagi jika 1 Syawal jatuh pada Jumaat. Bagi perniagaan bazar Aidilfitri juga diberi kelonggaran untuk berniaga sehingga 12 tengah malam. “Jika barangan jualan belum habis dijual, mereka dipertimbangkan melanjutkan waktu operasi, namun perlu menjaga kebersihahan.”

Share this post: