Kelab penyokong ketengah usaha kerajaan bantu rakyat menjelang Raya
2026-03-19 - 15:51
Pengerusi BBC Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif fiskal dan sosial kerajaan beri impak langsung ke atas rakyat. PETALING JAYA: Langkah Putrajaya memelihara kesejahteraan rakyat menjelang Hari Raya Aidilfitri mencerminkan satu pendekatan berstruktur dan bersasar untuk meringankan kos sara hidup serta mengukuhkan ekonomi, menurut Kelab Penyokong Kerajaan (BBC). Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah ini amat penting berikutan tekanan inflasi dan peningkatan perbelanjaan bermusim yang lazimnya dihadapi oleh rakyat Malaysia semasa sambutan Aidilfitri. Beliau menjelaskan, diskaun tol 50% sempena Aidilfitri akan mengurangkan kos perjalanan bagi mereka yang pulang ke kampung halaman, manakala pelepasan status muflis segera bagi kira-kira 4,000 individu juga dijangka menyumbang secara produktif kepada pertumbuhan ekonomi. Beliau turut menggariskan beberapa inisiatif kos sara hidup dan sokongan sosial yang lain, termasuk pengagihan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 5.2 juta penerima; bantuan khas kewangan untuk penjawat awam, pesara dan kumpulan agama; serta kawalan harga dan jaminan bekalan barangan sepanjang Ramadan. “Apa yang lebih penting, keseluruhan pakej ini memperlihatkan keupayaan kerajaan dalam menyelaras dasar fiskal dan sosial secara serentak, dengan impak langsung kepada rakyat. “Ini suatu strategi intervensi proaktif yang dirancang bagi memastikan keseimbangan antara keperluan rakyat dan keupayaan fiskal negara terus terpelihara,” kata Ahli Parlimen Sekijang itu. Terdahulu hari ini, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin meluahkan kekesalan berhubung kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter. Hamzah berkata, walaupun harga minyak global melonjak susulan pergolakan di Timur Tengah, kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih berhemah dengan menangguhkan kenaikan tersebut atau melaksanakannya secara berperingkat.