TheMalaysiaTime

Kedutaan Iran kecam serangan ketika rundingan nuklear sedang berjalan

2026-03-01 - 08:34

Kedutaan Iran di Kuala Lumpur menyatakan beberapa tempat awam, termasuk sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah perempuan terkena serangan AS dan Israel. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Kedutaan Iran di Malaysia mengecam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas negara itu sambil menyatakan serangan itu berlaku ketika rundingan bagi mencapai kesepakatan mengenai isu nuklear Iran masih lagi sedang berjalan. Kedutaan itu menyifatkannya tindakan tersebut sebagai ‘pencerobohan tentera secara meluas’ tanpa sebarang asas undang-undang atau politik, selain menyatakan ia mencabuli kedaulatan nasional Iran dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). “Serangan ini berlaku pada ketika Iran dan AS sedang berada di tengah-tengah proses diplomatik,” katanya dalam kenyataan. Kedutaan berkenaan mendakwa banyak ‘tempat awam’ terkena serangan, dan menyatakan sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah perempuan di selatan Iran disasarkan. Ia menyatakan sekitar 150 kanak-kanak terbunuh dan kira-kira 100 lagi cedera, dengan puluhan lagi mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan. Kedutaan Iran menggambarkan serangan ke atas lokasi awam sebagai ‘contoh nyata jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva’. Laporan berita juga memuatkan dakwaan mengenai serangan ke atas sebuah sekolah perempuan di Minab, di wilayah Hormozgan, Iran, melibatkan jumlah kematian besar. Kedutaan itu menyatakan sasaran awam tersebut tidak sepadan dengan dakwaan pemimpin AS dan Israel bahawa mereka hanya mensasarkan pangkalan tentera. Mengenai langkah Iran seterusnya, pihaknya menyatakan Tehran tidak berhasrat memperluaskan konflik, namun tidak akan berundur sekiranya lebih banyak serangan berlaku. “Iran tidak berhasrat memburukkan lagi ketegangan (namun) selagi pencerobohan berterusan, negara kami akan mempertahankan wilayah, rakyat, dan kedaulatannya dengan menggunakan segala cara yang sah,” katanya. Ia menyatakan, Iran tidak mempunyai niat atau kemahuan untuk menyasarkan orang awam atau menyerang negara di rantau berkenaan, dan sebarang tindakan pada masa hadapan hanyalah bertujuan untuk menyerang kedudukan dan pangkalan pihak yang digelar ‘penceroboh’, selaras peraturan peperangan. “Kini masanya untuk mempertahankan negara dan berdepan pencerobohan tentera yang dilakukan oleh musuh Iran dan Islam,” katanya. “Sejarah membuktikan rakyat Iran tidak pernah menyerah kalah kepada penguasaan dan pencerobohan asing; kali ini juga, mereka akan memberikan tindak balas yang kuat terhadap pencerobohan berlaku.”

Share this post: