TheMalaysiaTime

Kebakaran hutan masuk hari ke-4, cuaca panas tambah risiko

2026-03-24 - 05:00

Operasi pemadaman dijalankan oleh pasukan bomba dari BBP Punggai bersama polis dan Yayasan Perladangan Johor. (Gambar JBPM) PETALING JAYA: Kebakaran hutan dan belukar di sepanjang Lebuhraya Bypass Punggai ke Sebana Cove, Pengerang, kini masuk hari keempat dengan asap tebal masih menyelubungi kawasan itu. Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai Alvinni Jackson berkata, keadaan berisiko bertambah buruk berikutan cuaca panas, kering dan angin bertiup kencang. Menurutnya, kebakaran yang bermula pada Sabtu itu melibatkan kawasan seluas 150 hektar persegi, dengan 63 hektar atau 42% berjaya dipadamkan setakat ini. “Operasi pemadaman dijalankan oleh pasukan bomba dari BBP Punggai bersama polis dan Yayasan Perladangan Johor. “Usaha pemadaman akan diteruskan sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya, ” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian. Selain itu, katanya, polis dari Balai Polis Bayu Damai turut membantu menutup jalan supaya kenderaan tidak memasuki kawasan kebakaran. Sehubungan itu, Alvinni mengingatkan orang ramai supaya mengelak daripada melalui kawasan berisiko.

Share this post: