TheMalaysiaTime

Keadaan di Timur Tengah terkawal, belum perlu pelan evakuasi, kata Tok Mat

2026-03-03 - 07:23

Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan berkata kerajaan sedang memantau keadaan di Timur Tengah dan situasi ketika ini belum memerlukan pelan evakuasi diaktifkan. (Gambar EPA Images) KUALA LUMPUR: Keadaan di Qatar dan negara Teluk masih terkawal, walaupun persekitaran keselamatan di Timur Tengah kini tidak menentu susulan ketegangan serantau yang menjejaskan pergerakan serta keselamatan orang awam, kata Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan. Setakat ini, beliau berkata, situasi semasa belum memerlukan kerajaan mengaktifkan pelan evakuasi membawa rakyat Malaysia keluar dari negara terbabit. “Kita sedang meneliti, memantau keadaan di sana dan situasi sekarang ini belum lagi memungkinkan kita untuk mengaktifkan pelan evakuasi,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara. Beliau menjawab pertanyaan Senator Azahar Hassan mengenai langkah kerajaan memindahkan rakyat Malaysia yang dikatakan ‘terperangkap’ di Qatar dan Timur Tengah akibat ketegangan di sana. Mohamad yang lebih dikenali Tok Mat berkata, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia terus terpelihara, khususnya mereka yang terjejas akibat gangguan penerbangan dan sekatan pergerakan. Langkah itu termasuk membuka bilik gerakan 24 jam dan memastikan rakyat Malaysia dapat berhubung dengan pejabat konsulat di setiap negara terbabit, manakala kedutaan turut memantau perkembangan secara berterusan. “Ketika ini, kira-kira 29,000 rakyat Malaysia berada di negara Teluk, dengan kira-kira 13,000 daripadanya berdaftar dengan kedutaan. Di Qatar saja, seramai 2,007 rakyat Malaysia berdaftar dan kebanyakannya bekerja dengan syarikat penerbangan dan sektor berkaitan.” Tegasnya, fokus kerajaan ketika ini untuk membantu rakyat Malaysia dalam perjalanan transit di Dubai, Oman, Abu Dhabi dan Doha, manakala mereka yang menetap di sana tiada isu kerana mempunyai tempat tinggal serta kemudahan lengkap. Katanya, rundingan juga sedang diadakan dengan Lembaga Tabung Haji bagi menggunakan kemudahan penginapan agensi itu di Jeddah untuk membantu rakyat Malaysia terkesan akibat pembatalan penerbangan. Kerajaan akan berusaha menguruskan kes individu, termasuk pelajar terkandas dengan menempatkan mereka di premis kedutaan, selain berharap syarikat pengendali umrah bertanggungjawab terhadap jemaah. “Buat masa ini, syarikat penerbangan Malaysia tidak meneruskan penerbangan ke Arab Saudi walaupun ruang udara negara itu masih terbuka. Ini berkemungkinan besar disebabkan syarikat insurans meningkatkan premium insurans mereka sehingga menjejaskan daya maju operasi dan isu ini sedang kita selesaikan.”

Share this post: