Keadaan di Qatar belum stabil, kata kedutaan
2026-03-02 - 23:34
Kepulan asap kelihatan di kawasan perindustrian Doha susulan serangan Iran dalam ketegangan yang berlaku di Timur Tengah. (Gambar AFP) KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar memaklumkan bahawa keadaan keselamatan di Qatar dan rantau Teluk masih belum stabil sepenuhnya susulan perkembangan terkini di rantau itu. Kedutaan dalam satu notis kepada rakyat Malaysia di negara berkenaan semalam memaklumkan insiden terbaharu dilaporkan berlaku di kawasan industri Ras Laffan dan Mesaieed, namun hanya melibatkan kerosakan kecil. “Oleh itu, semua rakyat Malaysia di Qatar adalah dinasihatkan untuk terus berwaspada dan tidak keluar, kecuali untuk urusan mustahak sahaja,” menurut notis itu yang dimuat naik di Facebook Kedutaan itu. Sementara itu, menerusi hantaran berlainan, kedutaan memaklumkan satu proses pengumpulan data sedang dijalankan bagi mengemas kini rekod rakyat Malaysia yang berada atau terkandas di Qatar bagi memastikan maklumat terkini dan lengkap dapat diperoleh. “Langkah itu bertujuan membolehkan maklumat penting disalurkan dengan lebih cepat dan tepat sekiranya diperlukan,” katanya. Pautan itu boleh diakses di laman Facebook rasmi Kedutaan. Ketegangan di Timur Tengah memuncak pada Sabtu apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan beberapa pegawai kanan Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei. Sebagai tindak balas, Tehran telah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan ke atas Israel dan aset AS di negara Teluk.