Ke mana wang rasuah berbilion dirampas SPRM dibelanja, NGO seru ketelusan
2026-02-02 - 08:26
Presiden Malaysian Corruption Watch (MCW) Jais Abdul Karim, berkata rakyat mahu melihat hubungan langsung antara dana diperoleh semula dengan manfaat mereka terima. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Malaysian Corruption Watch (MCW) menyeru kerajaan meningkatkan ketelusan dalam menguruskan dana rasuah yang diperoleh semula bagi memastikan wang itu memberi manfaat kepada rakyat. Presiden Jais Abdul Karim, berkata RM8.5 bilion diperoleh semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu merupakan pencapaian penguatkuasaan yang besar, namun ia juga menunjukkan rasuah di negara ini sudah sistemik dan membimbangkan. “Jumlah RM8.5 bilion bukannya angka kecil. Ini membuktikan rasuah bukan lagi kes terpencil, sebaliknya berakar umbi dalam projek besar, perolehan awam, pelesenan, kelulusan, serta pentadbiran. “Pemulangan dana ini harus dilihat sebagai amaran serius, bukannya alasan untuk rasa selesa,” katanya dalam kenyataan. Jais berkata, dana diperoleh semula itu tidak seharusnya hanya kembali ke dalam kitaran perbelanjaan biasa, sebaliknya perlu disalurkan kepada pendidikan dan latihan integriti untuk belia, kesihatan awam, penjagaan kesihatan dan hospital, serta projek berimpak tinggi seperti bekalan air, perumahan, dan sekolah daif, selain dana khas untuk integriti dan pencegahan rasuah. “Orang awam mesti dapat melihat hubungan langsung antara dana diperoleh semula dengan manfaat yang mereka terima,” katanya. Beliau turut menggesa diwujudkan pemantauan bebas oleh Parlimen dan masyarakat sivil, laporan awam secara berkala mengenai penggunaan dana, serta langkah mengelakkan dana berkenaan ‘lenyap dalam sistem’. Sambil menyokong tempoh tamat satu minggu diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada ketua penguat kuasa untuk bertindak terhadap rasuah atau berundur, Jais berkata, pembaharuan mestilah berterusan dengan tumpuan kepada penyingkiran pegawai bermasalah, dan bukannya sekadar arahan bermusim. “Reformasi mestilah bukan sekadar kosmetik atau hanya berdasarkan garis masa singkat. Tempoh masa tidak membawa makna tanpa kemahuan tulen politik,” katanya. Pada 2025, SPRM memperoleh semula lebih RM8.5 bilion melalui rampasan aset, pembekuan akaun, pelucuthakan, kompaun, dan penyelesaian. Minggu lalu, Anwar memberi amaran kepada pegawai penguat kuasa supaya berundur sekiranya tidak serius memerangi rasuah dan penyeludupan, sambil menyatakan beliau mengharapkan kemajuan yang sebenar. Beliau juga memberikan tempoh satu minggu kepada pegawai penguat kuasa daripada pelbagai jabatan dan agensi untuk bermuhasabah sama ada mereka benar-benar bersedia untuk berjuang habis-habisan menentang rasuah.