TheMalaysiaTime

Ke mana hilang kasih dan sayang kita?

2026-03-11 - 23:04

“Dalam ku terus berperang Mencari-cari jawapan Mengapa kita berperang Mencarik panji insan.” Apa yang tidak kena dengan kita hari ini? Persoalan itu wajar ditanya dalam diri setiap kita yang bergelar warga susulan kekalutan berlaku dalam negara ketika ini. Seperti bait lirik lagu ‘Satu Bangsa, Satu Arah’ dendangan band legenda Search di atas, jawapan harus dicari mengapa kita masih bersengketa, masih mahu bercakaran dan berkonfrontasi sedang kita hidup di bawah satu bumi dan langit yang sama malah menghirup udara sama. Mutakhir ini, kita disajikan insiden tidak enak bertebaran di media sosial mahupun di mana-mana saja di pelosok negara mengenai pertelingkahan yang sengaja dicetuskan mahupun tidak sengaja tercetus. Roboh, pijak, hina-menghina, caci maki, malah membakar. Kontroversi demi kontroversi, tingkah laku demi tingkah laku, sentimen di sana sini. Semuanya menjurus kepada kerosakan. Ya, ia menjadi ‘barah’. Adakah ini yang kita mahukan selepas hampir 69 tahun negara mencapai kemerdekaan? Pasti, setiap daripada kita yang waras dan mampu berfikir secara matang akan terdetik rasa kecewa dengan apa berlaku. Jauh di sudut hati akan terbit kesayuan kerana kita terlalu leka dengan apa yang dikecap selama ini sehingga alpa untuk memeliharanya. Imbas sejenak, tanah air ini tidak dibina sehari dua cuma, tetapi berdekad lamanya dengan keringat dan darah orang kita dahulu. Orang kita adalah bangsa Malaysia yang berbilang kaum. Di suatu ketika kita boleh berganding bahu, mengerah kudrat melawan anasir lalu mengusir kolonialisme, mengapa hari ini selepas mereka dinyah pulang kita pula bersengketa sesama? Adakah tidak ada penawar untuk ‘barah’ ini? Bilakah akan berakhir? Persoalan yang pasti ada jawapan cuma tidak terjawab di kala ego dan emosi masih beraja dalam diri. Kita sebenarnya lupa: hormat dan toleransi adalah senjata ampuh untuk menangkis semua ‘kejahatan’ ini. Di kala ego masih menguasai diri, kita jadi ‘gila’ untuk turut sama menyemarakkan bibit kebencian. Ditambah pula emosi yang ‘meronta’ untuk bersama ‘menyimbah minyak ke dalam api’ memenuhi komen di ruangan maya, baik politikus mahupun marhaen, semua ini hanya mengeruhkan. Adakala diam lebih berguna. Malaysia tanah tumpah darah kita. Sebagai rakyat kita seharusnya menyemat dalam diri lima prinsip Rukun Negara yang digariskan antaranya bagi mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan masyarakat dan memelihara cara hidup demokratik. Lupakah kita? Tuhan semua agama juga tidak pernah menyuruh umatnya bersengkata malah menganjurkan supaya berkasih sayang sesama insan. Al-Quran menerusi Surah al-Hujurat ayat 13 menekankan manusia diciptakan daripada lelaki dan perempuan, serta dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenal, bukan bermusuhan. Sebagai umat Islam, perintah Yang Maha Esa wajib ditaati. Payahkah atau kita sengaja menutup mata? Sudah tiba masa ego dicampak, sentimen dan emosi dibuang jauh supaya kasih sayang dapat dikembalikan. Sedarlah hanya dengan berkasih sayang kita dapat membaiki semula keharmonian yang tercalar akibat insiden yang mengancam jiwa raga segenap rakyat berbilang bangsa. Percayalah, ia adalah penawar paling mujarab tatkala kita mengimpikan sebuah negara yang aman, bahagia dan sempurna – bebas perkauman, provokasi serta permusuhan. Pihak yang bersalah harus akur dan berani mengaku kesalahan. Berkata benar itu sememangnya pahit namun yakinlah akan ada kemanisan di akhirnya. Manakala, bagi pihak di jalan lurus pula bertindaklah mengikut alur kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan. Memberi kemaafan itu lebih indah daripada berterusan menaruh dendam. Kita sebenarnya boleh mengetepikan perbezaan dengan mengutamakan kebersamaan. Tanggungjawab ini mesti dipikul di bahu masing-masing bukannya menuding atau meletakkan beban kepada pihak lain. Ya, diri sendiri adalah kuncinya. Ingatlah, kita tidak boleh mewarisi ibu pertiwi ini dengan kebencian kepada generasi mendatang. Warisan ini perlu dijaga dan dipelihara kerana kita tidak mahu waima mengizinkan ‘peristiwa lama’ berulang. Sudah-sudahlah. Kita letih menghadap semua ini. Biarlah kita hidup tenang. Seandainya esok menjanjikan mentari, seharusnya kita persiapkan hari ini dengan ‘warna keamanan’ supaya kedamaian yang didambakan terus erat dalam dakapan. Berpeganglah...kita hidup di bawah ‘satu bumi, satu langit, satu syurga, satu bangsa dan satu arah’, seperti dinukil Kristo Bimbo atau Loloq dalam naskhah yang penuh makna perpaduan tadi. Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: