KDM sahkan Peter Anthony bebas dari penjara secara parol
2026-03-25 - 12:50
Peter Anthony telah menjalani setahun daripada hukuman penjara tiga tahunnya. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Bekas menteri Sabah Peter Anthony yang disabitkan kesalahan memalsukan dokumen pada 2022, telah dibebaskan secara parol selepas menjalani setahun daripada hukuman penjara tiga tahun. Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Wetrom Bahanda mengesahkan pembebasan Peter tetapi enggan memberikan butiran lanjut, lapor Daily Express. Walaupun pihak berkuasa masih belum mengesahkan pembebasan itu, Daily Express memetik sumber Jabatan Penjara sebagai berkata beliau memohon parol sebaik sahaja layak dan diberikan parol bersyarat. Peter, yang merupakan menteri pembangunan infrastruktur Sabah ketika Warisan memerintah antara 2018 hingga 2020, dipercayai dibebaskan pada 13 Mac. Peter, yang ketika itu merupakan pengarah urusan Syarikat Asli Jati, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah. Pada Ogos tahun lalu, beliau gagal dalam usahanya untuk mendapatkan perbicaraan semula bagi pertuduhan pemalsuan selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk semakan.