TheMalaysiaTime

KBS gesa FAM laksana reformasi menyeluruh susulan kejatuhan ranking

2026-03-24 - 08:41

Semalam, Fifa mengeluarkan ranking terbaharu Harimau Malaya yang jatuh 14 anak tangga dan berada pada kedudukan ke-135 dunia dengan kutipan 1,095.90 mata. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melaksanakan reformasi menyeluruh dan mempercepatkan proses pemilihan kepimpinan baharu susulan kejatuhan mendadak ranking Harimau Malaya. Menterinya, Dr Taufiq Johari berkata, skuad kebangsaan kini merosot 14 anak tangga ke kedudukan 135 dunia berbanding tangga ke-121 sebelum ini. Menurutnya, kemerosotan itu berlaku selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya ke atas Vietnam dan Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 berikutan isu pemain warisan. “Saya turut merasai kekecewaan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan berhubung penurunan ranking ini serta kontroversi yang melanda skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu. “Semua pihak harus mengambil iktibar dan saya berharap langkah wajar diambil agar perkara seumpama ini tidak berulang lagi,” katanya dalam kenyataan. Mengulas lanjut, Taufiq berkata kementerian itu tetap dengan pendirian untuk tidak campur tangan dalam urusan pengurusan badan induk terbabit. Katanya, KBS melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan terus memantau kepatuhan pengurusan FAM terhadap perlembagaan persatuan serta peruntukan dalam Akta Pembangunan Sukan (Akta 576). “KBS akan terus mengadakan sesi libat urus berkala dengan pihak FAM untuk mendapatkan maklumbalas tentang strategi mengelakkan kejatuhan ranking yang lebih lanjut, memandangkan kedudukan dikemaskini secara langsung dengan setiap perlawanan antarabangsa,” katanya. Semalam, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengeluarkan ranking terbaharu Harimau Malaya yang jatuh 14 anak tangga dan berada pada kedudukan ke-135 dunia dengan kutipan 1,095.90 mata. Sebelum ini, Fifa membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan memberikan kemenangan percuma 0-3 kepada pasukan lawan. FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh badan induk bola sepak dunia itu berhubung dokumen palsu yang dikemukakan bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun. Tujuh pemain terbabit terdiri daripada Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Share this post: