TheMalaysiaTime

Kawalan, skala jadi taruhan pertikaian Sarawak-Petronas, kata penganalisis

2026-03-11 - 00:34

Kepentingan negeri, perbahasan perlembagaan dan pengagihan hasil yang adil adalah penting, namun Samirul Ariff Othman berkata perdebatan itu tidak seharusnya disempitkan kepada persaingan politik antara kepentingan persekutuan dan negeri. (Gambar AFP) PETALING JAYA: Pertikaian berterusan antara Petronas dan kerajaan Sarawak bukan sekadar melibatkan isu royalti, sebaliknya menggambarkan perebutan lebih besar berkaitan kawalan dan skala dalam sistem tenaga Malaysia, menurut seorang penganalisis. Penganalisis politik global, perniagaan dan ekonomi serta pensyarah adjung di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Samirul Ariff Othman, memberi amaran bahawa pertikaian yang semakin memuncak mengenai pemilikan dan kuasa terhadap sumber luar pesisir berisiko melemahkan daya saing Petronas di peringkat global. Beliau berkata banyak perdebatan awam memberi gambaran tidak lengkap apabila ia dianggap sekadar pertikaian mengenai hasil minyak dan pemilikan sumber. “Gambaran tu memang mudah difahami, tetapi tidak lengkap,” katanya. “Soalan yang lebih penting bukanlah siapa memiliki minyak itu, tetapi siapa mengawal sistem yang membolehkan hidrokarbon Malaysia dibangunkan, dikomersialkan, diinsuranskan, dibiayai dan dipasarkan di peringkat antarabangsa.” Pertikaian itu semakin hangat selepas Petronas dan kerajaan Sarawak masing-masing memfailkan saman berkaitan pertikaian tersebut baru-baru ini. Pada 12 Januari, syarikat minyak nasional itu memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai rangka kerja kawal selia yang terpakai terhadap operasinya di Sarawak. Sementara itu pada 23 Februari, Sarawak memfailkan petisyen mencabar keabsahan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), Akta Pelantar Benua 1966, dan Akta Perlombongan Petroleum 1966, serta pemakaiannya terhadap negeri itu. Sarawak berhujah bahawa undang-undang tersebut melanggar haknya terhadap sumber petroleum yang terletak di dasar laut pelantar benua yang menurutnya berada dalam sempadan negeri. Negeri itu, yang mempunyai syarikat minyak dan gas sendiri iaitu Petros, mahu mahkamah tertinggi memutuskan entiti mana yang mempunyai kuasa terhadap sumber di perairan Sarawak. Samirul berkata pertikaian antara Petronas dan Petros sepatutnya dilihat sebagai perebutan mengenai ‘susunan sistem’, bukan sekadar pertikaian hak pengeluaran sumber. “Minyak di Malaysia penting terutamanya sebagai alat dalam struktur kuasa yang lebih luas,” katanya. “Pengaruh terhadap skala, kunci kira-kira kewangan, kredibiliti kontrak, akses pasaran dan perlindungan geopolitik lebih penting daripada pemilikan rasmi sumber.” Menurutnya, setakat ini Petronas berperanan sebagai ‘penyepadu sistem’ negara – entiti yang menggabungkan sumber, menyebarkan risiko, mendapatkan pembiayaan, berunding dengan rakan antarabangsa dan mempamerkan kebolehpercayaan di pasaran global. “Memecahkan peranan itu bukan sekadar mengagihkan semula pendapatan, tetapi mengubah kedudukan Malaysia dalam sistem global,” katanya. “Ia mempengaruhi bagaimana rakan niaga melihat risiko, bagaimana syarikat insurans menetapkan harga pendedahan, bagaimana pembiaya menilai skala dan bagaimana pembeli menilai keselamatan bekalan jangka panjang.” Samirul berkata pengaruh tenaga Malaysia tidak pernah bergantung semata-mata kepada jumlah rizab yang besar. Sebaliknya, ia datang daripada hubungan Malaysia dengan pasaran global serta skala yang dicapai melalui pengurusan minyak dan gas di bawah satu syarikat nasional. “Dengan menggabungkan rizab yang agak sederhana dalam satu platform nasional, Malaysia berjaya mencapai skala, kredibiliti dan kuasa tawar-menawar dalam industri global yang dikuasai syarikat gergasi,” katanya. Beliau memberi amaran bahawa melemahkan peranan pusat Petronas boleh menjejaskan daya tahan sistem tenaga Malaysia, terutama dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu. “Risikonya bukanlah penyertaan negeri yang lebih besar akan melemahkan persekutuan semata-mata. Risikonya ialah perpecahan yang tidak diselaraskan boleh melemahkan ketahanan sistem nasional – keupayaannya menghadapi turun naik harga, kejutan geopolitik atau perubahan dalam pembiayaan tenaga global.” Samirul berkata pertikaian itu tidak sepatutnya disempitkan kepada persaingan politik menang-kalah antara kepentingan persekutuan dan negeri. “Ini tidak menafikan kepentingan sah negeri, perdebatan perlembagaan atau keperluan pengagihan hasil yang adil,” tegasnya. “Tetapi strategi besar dibentuk oleh tekanan struktur, bukan sekadar slogan. Keyakinan pasaran, persepsi pakatan dan kesinambungan institusi menghadkan pilihan walaupun kuasa undang-undang wujud.” Tambahnya, landskap politik Malaysia yang semakin berpecah telah memberi lebih pengaruh kepada Sabah dan Sarawak dalam pembentukan kerajaan Persekutuan, sekali gus menjadikan perdebatan tenaga ini lebih penting. “Apabila pengaruh politik yang meningkat bertemu dengan tuntutan kawalan lebih besar terhadap hidrokarbon strategik, perdebatan beralih daripada penyertaan fiskal kepada kuasa sistemik,” katanya. “Pada ketika itu, persoalannya bukan lagi bagaimana hasil dibahagikan, tetapi siapa yang mengawal struktur aliran kuasa tersebut.” Samirul berkata cabaran Malaysia bukan memilih antara kawalan persekutuan atau negeri, tetapi mereka bentuk sistem yang mengekalkan skala, kredibiliti dan daya tahan. “Pertikaian Petronas–Petros pada asasnya bukan mengenai minyak atau bukan minyak, dan bukan juga mengenai kebanggaan persekutuan atau negeri. Ia mengenai dominasi sistem berbanding kerentanan sistem. “Kuasa hari ini terletak pada keupayaan membentuk aliran modal, kontrak, teknologi dan kepercayaan – bukan sekadar membahagikan tong minyak,” katanya.

Share this post: