TheMalaysiaTime

Kata kunci ‘buat masa ini’

2026-03-26 - 00:20

Artikel ini ialah lanjutan penulisan saya yang disiar FMT . Maka MIC sudah buat keputusan ia akan kekal dalam BN ‘buat masa ini’. Bukanlah suatu keputusan yang memeranjatkan secara keseluruhan. Malah sudah dijangka meskipun ada elemen ‘surprise’ (baca pelik) apabila MIC menambah istilah ‘buat masa ini’ dalam keputusannya. Masih mahu main teka teki. Pada hemat saya langkah ‘buat masa ini’ hanya menyulitkan MIC kerana ia sekadar memanjangkan dilema dan kesusahan parti itu. Kata Timbalan Presiden MIC M Saravanan ketika partinya ‘membuat pertanyaan’ ( ertinya merisik-risik ) Perikatan Nasional (PN) dipimpin oleh Bersatu tetapi sekarang oleh PAS. Merujuk semasa Muhyiddin Yassin jadi pengerusi PN dan sekarang digantikan oleh Ahmad Samsuri Mokhtar. Namun PN has always been controlled by a very dominant PAS meskipun presiden Bersatu jadi pengerusi. Masakan MIC tidak tahu. Apa pun kata Saravanan sekarang MIC mesti mendapatkan pandangan akar umbi dan memahami sentimen masyarakat India jika MIC menyertai gabungan yang dipimpin oleh PAS. Seperti saya kata tadi PAS sejak dulu dominan dalam PN dan sewaktu MIC ‘berjinak-jinak’ PAS lah yang berkuasa. Tidak mungkin akar umbi MIC tidak tahu peranan PAS dalam PN selama ini. Dan kuasa PAS dalam PN lebih menyeluruh sekarang berbanding dulu. Saya kira kepimpinan boleh jangka apa yang akan dikata oleh akar umbinya sekarang apabila ditanya pandangan mereka jika parti menyertai gabungan pimpinan PAS. Dan amat pelik jika MIC tidak tahu sentimen masyarakat India secara am terhadap PAS sehingga baru sekarang mahu ‘memahaminya’. Tidak perlu jadi ahli kaji selidik untuk tahu rata rata sentimen masyarakat India terhadap PAS tidak berubah. They have a sense of uneasiness and even fear for PAS. Masyarakat India seperti juga masyarakat bukan Islam lain melihat PAS sebagai hard liner Islamists yang menakutkan. MIC tidak tahu ini semua? Begitu terasing parti daripada kaum India? Atau buat buat tidak tahu ? Atau masih mahu terus mengacah BN khususnya Umno? Jika ini tujuannya saya simpulkan begini. Seperti ditulis dalam artikel lalu Umno is not amused. Dan tidak gusar jika MIC sertai PN. Acah-acah sudah lama dilakukan tetapi jika masih mahu berbuat demikian sekarang yakni setelah Jawatankuasa Kerja Pusat MIC berbincang hala tuju parti, Umno akan lebih sangsi akan kesetiaan rakanya dalam BN. Akan was-was dan pandang MIC lebih serong daripada dahulu. Dan tidak boleh dipersalahkan Umno berbuat demikian kerana MIC masih tidak fully committed kepada BN sehingga sekarang. Kerana mahu kekal ‘buat masa ini’. Berapa lama tempoh ‘buat masa ini’ yang dimaksudkan? Dan jika Umno is not amused saya kira PN akan lebih tidak amused. Baik PAS mahu pun Bersatu. Terutamanya PAS. PN seolah-olah dipermainkan oleh MIC. Boleh diibaratkan seorang isteri yang mahu suami mengikut kemahuannya dengan cuba membuat si suami cemburu dan risau dengan bermain-mata denan lelaki lain. PN surely don’t like such a game . Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan beberapa minggu lalu berkata permohonan MIC menyertai PN sudah diteliti dan diterima. MIC kata ia tidak hantar surat permohonan tetapi hanya mengutus surat untuk mendapat maklumat termasuk apa yang akan diberikan PN kepada mereka. Bayangkan anda di tempat PN. Anda juga akan marah jika diperlaku demikian. Lantas bolehlah dibayangkan apa yang PN khususnya PAS rasakan. MIC tidak boleh take for granted ia boleh sertai PN pada bila-bila masa ia mahu. Setelah apa yang berlaku terutama setelah MIC putuskan semalam untuk kekal dalam BN ‘buat masa ini’ tidak ada jaminan PN akan terima MIC apabila tempoh ‘buat masa ini’ berlalu. There is simply no guarantee. PN boleh saja tidak menerima MIC jika ia mahu . Umum tahu MIC lebih memerlukan PN. Bukan sebaliknya. Begitu juga keadaannya MIC dengan BN. Untuk ada daya tarikan dan bargaining power MIC mesti terlebih dahulu memberi jaminan dan bukti kepada BN atau PN ia ada sokongan padu masyarakat India yang boleh diterjemahkan kepada undi. Sehingga kini itu sesuatu yang MIC tidak boleh janjikan. Strategi MIC kekal dalam BN tetapi pada masa sama masih mengintai PN sesuatu yang berisiko tinggi. Ia boleh bawa padah. Bertanya seorang kawan lama bekas wartawan Leslie Lim “Would yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran be an apt description for MIC’s current predicament?” Saya kata ya. Itu tanggapan tepat sekali. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: