TheMalaysiaTime

Kastam KLIA sita RM3.26 juta dadah, mata wang asing

2026-03-09 - 07:14

Bagi kes pertama dan kedua, seorang lelaki Tanzania dan seorang warga Bangladesh ditahan di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1. SEPANG: Jabatan Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan cubaan penyeludupan dadah serta menyita pelbagai mata wang asing dengan nilai keseluruhan RM3.26 juta dalam tiga kes berasingan pada Januari dan Februari lalu. Pengarahnya, Zulkifli Muhammad, berkata pada 29 Jan lalu, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA bersama Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 (CPP 1) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Terminal 1 menahan seorang lelaki warga Tanzania dalam lingkungan 50-an di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 kerana disyaki mengedar dadah melalui kaedah “body packer”. “Pemeriksaan imbasan badan terhadap suspek menemui objek mencurigakan di bahagian abdomen sebelum lelaki itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. “Hasil pemeriksaan mendapati 101 kapsul berbalut plastik lut sinar mengandungi serbuk putih disyaki kokain dikeluarkan daripada badan suspek dan jumlah rampasan dianggarkan 1,629.20g bernilai kira-kira RM733,140,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, suspek telah dituduh di mahkamah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati. Pada 6 Feb lalu pula, beliau berkata, pasukan operasi CPP 1 dan AKPS Terminal 1 menahan seorang warga Bangladesh di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 kerana disyaki membawa masuk mata wang asing tanpa membuat pengisytiharan. Pemeriksaan terhadap bagasi milik pengembara itu menemui wang tunai dalam pelbagai mata wang, iaitu Saudi Riyal, euro dan pound sterling yang disembunyikan dalam pelapik lipatan kemeja bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. “Pengembara gagal membuat pengikraran dalam Borang Kastam 7 ke atas amaun tunai yang hendak dibawa masuk ke Malaysia dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019 mewajibkan pengembara mengisytihar amaun tunai dan instrumen boleh niaga bersamaan atau melebihi USD10,000 yang ingin dibawa masuk ke Malaysia. “Nilai keseluruhan sitaan mata wang tersebut dianggarkan RM2.41 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang jika disabitkan kesalahan melanggar subseksyen (1) suspek boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.” Zulkifli berkata, kes ketiga pada 10 Feb lalu membabitkan seorang warga Indonesia ditahan di Balai Pelepasan Antarabangsa Terminal 2 KLIA kerana disyaki cuba membawa keluar ringgit tanpa pengisytiharan serta kelulusan Bank Negara (BNM). Beliau berkata, pengembara itu tidak membuat pengikraran ke atas amaun tunai hendak dibawa keluar dari Malaysia dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019. “Pengembara ingin membawa keluar amaun tunai dan instrumen boleh niaga dari Malaysia perlu mengikrarkannya menggunakan Borang Kastam No 7 jika amaun tunai atau instrumen boleh niaga pembawa melebihi atau bersamaan USD10,000. “Selain itu, kelulusan BNM bagi mata wang ringgit perlu diperoleh terlebih dahulu, sebelum mata wang tersebut dibawa keluar dari Malaysia.” Katanya, hasil pemeriksaan anggota operasi CPP 2 dan AKPS Terminal 2 menemui ringgit yang disembunyikan dalam satu bagasi milik pengembara itu dan kes diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan LTAKL untuk tindakan lanjut. “Nilai sitaan mata wang tersebut sebanyak RM120,100 dan kes disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. Jika sabit kesalahan melanggar subseksyen (1), suspek boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.”

Share this post: