Kanak-kanak mangsa eksploitasi ‘online’ perlu dilindung, bukan ditahan Sosma
2026-03-15 - 03:03
Enam lelaki termasuk tiga remaja bawah umur ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti berorientasikan keganasan berkaitan kumpulan IS dalam operasi Bukit Aman pada 14 dan 15 Feb lalu. (Gambar Envato Elements) PETALING JAYA: Kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi keganasan dalam talian perlu dilindungi bukan ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). Perkara itu dibidas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Hak Kanak-kanak (KRPPM-Hak Kanak-kanak) dan beberapa pertubuhan masyarakat sivil. Kumpulan itu merujuk penahanan enam lelaki termasuk tiga remaja bawah umur kerana disyaki terlibat aktiviti berorientasikan keganasan berkaitan kumpulan IS dalam operasi khas Cawangan Khas Bukit Aman pada 14 dan 15 Feb lalu. Dalam kenyataan bersama, mereka berkata kanak-kanak direkrut melalui media sosial dan platform permainan dalam talian untuk menyokong kumpulan pengganas itu sepatutnya dilihat sebagai mangsa manipulasi dan indoktrinasi, bukan ancaman keselamatan. “Kanak-kanak terbabit wajar diberikan perlindungan, pemulihan dan intervensi psikososial, bukan penahanan di bawah undang-undang keselamatan yang ketat. “Kami menyambut baik laporan pembebasan kanak-kanak tersebut pada 13 Mac lalu, namun sebarang tindakan susulan perlu mengutamakan pemulihan dan pemantauan yang berstruktur,” katanya dalam kenyataan. Suhakam dan kumpulan itu menggesa kerajaan mengenakan moratorium segera terhadap penggunaan Sosma ke atas kanak-kanak serta memastikan mereka dilayan sebagai mangsa eksploitasi. Menurut kenyataan itu, kumpulan terbabit menekankan Sosma juga tidak menyediakan perlindungan khusus untuk kanak-kanak, termasuk pengawasan kehakiman mencukupi seperti digariskan dalam sistem keadilan kanak-kanak. Mereka menegaskan, kes membabitkan kanak-kanak yang terdedah kepada pengaruh ekstremis perlu ditangani melalui mekanisme perlindungan bawah Akta Kanak-kanak 2001, termasuk kaunseling, program pemulihan daripada pengaruh radikal, sokongan keluarga dan pemulihan berasaskan komuniti. Pada 6 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, mengesahkan penahanan enam individu berusia 16 hingga 21 tahun mengikut Sosma, tanpa mengabaikan hak termaktub bawah Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak. Mereka disiasat bawah Bab 6A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan keganasan dan bakal berdepan pelbagai pertuduhan termasuk Seksyen 130J iaitu mempromosi kumpulan pengganas serta menjadi atau mengaku ahli kumpulan pengganas dan Seksyen 130JB: memiliki, menyediakan, memaparkan, atau mengedar bahan berkaitan kumpulan pengganas.