TheMalaysiaTime

Kami tak dapat tahan lama, kata pengeluar makanan susulan lonjakan harga diesel

2026-03-26 - 07:50

Presiden Persatuan Pengilang Makanan Malaysia Ding Hong Sing berkata ahlinya masih mempertimbangkan sama ada akan menaikkan harga produk dan bimbang ia akan menjejaskan permintaan pengguna. SUBANG JAYA: Pengeluar makanan, khasnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan risiko untuk terus bertahan akibat kenaikan harga diesel susulan konflik Timur Tengah, kata sebuah persatuan. Presiden Persatuan Pengilang Makanan Malaysia, Ding Hong Sing, berkata banyak syarikat kini bergelut untuk kekal meraih keuntungan akibat margin rendah dan perbelanjaan semakin meningkat. Menurutnya, sesetengah pengeluar melaporkan tambahan perbelanjaan diesel RM60,000 hingga RM80,000 sebulan, manakala yang lain menganggarkan lonjakan kos operasi mencecah RM100,000 selepas mengambil kira kos logistik. “Ramai ahli kami beroperasi dengan margin sangat tipis. Dengan kos meningkat pada kadar ini, sesetengahnya mungkin tidak dapat mengekalkan operasi jika keadaan berterusan,” katanya dalam sidang media. Ding berkata, pengedar dan ejen juga di bawah tekanan kerana margin mereka lazimnya sekitar 8% hingga 10%, menjadikannya sukar untuk menyerap kos bahan api lebih tinggi. Jelasnya, ahli persatuan masih mempertimbangkan sama ada akan menaikkan harga produk kerana bimbang langkah itu akan menjejaskan permintaan pengguna. “Selain bahan api, kos pembungkusan plastik turut meningkat dengan mendadak. Plastik berasal daripada petroleum dan pembekal melaporkan kenaikan harga lebih 100% untuk beberapa bahan. “Ada kes di mana walaupun mempunyai wang, pengeluar tidak dapat menjamin bekalan mencukupi. Bahan pembungkusan penting untuk pengeluaran. Tanpanya, kilang tidak dapat beroperasi.” Katanya, gangguan dalam rantaian bekalan global turut menyebabkan kekurangan kontena perkapalan, yang menyebabkan peningkatan kos eksport antara RM2,000 hingga RM4,000 setiap kontena. Justeru, beliau menggesa kerajaan melaksanakan langkah sokongan bersasar, termasuk moratorium pinjaman dan akses pembiayaan lebih mudah untuk membantu perniagaan mengharungi krisis ini. Harga diesel di Semenanjung ditetapkan pada RM5.52 seliter sehingga 1 April ini, meningkat RM1.60 daripada RM3.92 seliter pada pertengahan bulan ini.

Share this post: