Kalau politik kata politik
2026-03-09 - 01:03
Rasanya ramai ada dengar tempoh hari Presiden Umno Zahid Hamidi kata partinya buka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas luasnya kepada ahli yang dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai Umno. Tak silap saya ini bukan kali pertama beliau berkata demikian. Cuma kali ini dilihat lebih ‘menyentuh perasaan’ kerana disuarakan dalam ‘semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan’. Maka kata Zahid: “Segala kekhilafan dan perbezaan lalu dimaafkan sepenuhnya.” Bagi orang Umno langkah ini menunjukkan ‘betapa besarnya jiwa Umno’ (baca Zahid) yang boleh menerima semula yang pernah mengkritiknya (memusuhi Umno?). Seperti Khairy Jamaluddin yang ‘menyerang’ Zahid dan parti pada PRU15. Dan Hamzah Zainudin yang tinggalkan parti semasa Umno dalam kesusahan berikutan kekalahan PRU 14. Juga Annuar Musa dan Shahidan Kassim? Kedua dua sekarang Ahli PAS yang sering kecam Umno. Bagi Zahid langkah memaafkan demi membuka ‘lembaran baharu untuk memperkukuhkan kembali keluarga besar Umno”. Pada pemahaman saya ini langkah politik. Tidak ada salahnya langkah politik membabitkan Umno dengan bekas Umno untuk kuatkan Umno. Ini saya faham. Yang saya tak faham ialah pertemuan atau apa yang dipanggil musyawarah membabitkan Umno dengan beberapa parti termasuk PAS, PKR dan Amanah di Kuala Lumpur, Khamis minggu lalu. Menurut Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, musyawarah itu dicetuskan Zahid untuk menghimpunkan pelbagai parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang ‘demi maslahah ummah dan Islam’. Selaku orang lama Zahid membaca sentimen Melayu dengn bijak. Orang Melayu memang sentimental terhadap soal ini. Kata Asyraf lagi musyawarah berkenaan menjadi wacana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman ‘dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera’. Maknanya demi agama dan bangsa. Bukan pasal politik. Tetapi semua yang hadir ialah parti politik. Tidak tahu jika yang hadir mewakili parti masing-masing secara rasmi atau datang sebagai individu. Tetapi hakikatnya mereka orang politik. Dan orang politik setahu saya bercakap pasal politik. Ini yang buat saya tak faham. Jika ia bertujuan politik kata sahaja politik. Tidak ada dosanya membuat atau cuba menjalin gabungan politik. Tetapi pelbagai parti yang hadir dengan ideologi sendiri (meskipun berteras Islam, Melayu dan Bumiputera). Lantas banyak perkara mesti diatasi dan cabaran ditempuh. Dalam konteks penulisan ini tidak perlu diperinci masalah yang bakal timbul jika kerjasama politik yang sebenarnya diidamkan. Kata Asyraf, parti politik kerajaan atau pembangkang boleh berbeza pandangan dalam sistem demokrasi. Saya setuju. Perbezaaan kata beliau ialah lumrah dalam politik. Ini pun saya setuju. “Namun, apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian”, kata Asyaf. Bagaimana? Kata saya setiap parti yang hadir pada musyawarah baru-baru ini tentu percaya ‘political will’ diperlukan dan saya kira mereka cukup yakin cara parti masing masing yang paling berkesan untuk mencapai matlamat yang dihuraikan Asyraf. Jika tidak, kita tidak akan ada banyak parti politik Melayu Islam in the first place. Bukan saya mahu ‘pour cold water over the initiative’ tetapi yang wajib ada ialah tahap kesefahaman dan toleransi yang amat tinggi. Wujudkah dua elemen ini ? Awal bulan ini, Zahid mengesahkan beliau ada bertemu pemimpin politik Disember lalu mengenai perpaduan Melayu–Islam. Maknaya bukan pasal politik. Apa pun pertemuan mengenai perpaduan Melayu diadakan bukan di tanah Melayu. Sebaliknya di Bangkok. Apa perlunya bertemu di luar negara? Dikatakan kerana Zahid ketika itu berada di Bangkok atas urusan rasmi. Tidak tahu apa yang begitu mendesak sehingga pemimpin politik termasuk Hamzah yang dipecat Bersatu tidak boleh tunggu Zahid pulang ke tanah air untuk bincang soal perpaduan Melayu. Lalu memilih untuk ke Bangkok mengadakan pertemuan demi bangsa dan agama. Beberapa media memetik sumber berkata orang kuat PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Takiyuddin Hassan turut hadir pertemuan di Bangkok. Tetapi Samsuri menafikan beliau terbabit dalam pertemuan yang diberi jolokan ‘The Bangkok Move’. Sesugguhnya politikus Melayu gemar mengorak langkah demi perpaduan bangsa. Dr Mahathir Mohamad dan Muhyididn Yassin antara yang pernah cuba mencipta ikatan demi perpaduan Melayu. Now this. Tetapi adakah orang Melayu sejak dulu dan sampai sekarang asyik bergaduh dan berperang antara satu sama lain? Jawapannya tidak. Memang ada perselisihan pendapat dan berlainan pandangan antara individu yang menyaksikan masam muka dan tidak bertegur sapa. Paling serius pada hemat saya ialah tercetusnya insiden sedih ‘kafir mengkafir’ susulan apa yang dipanggil Amanat Hadi pada 1981. Mujur ia tidak merebak dari Terengganu dan Kelantan. Alhamdulillah ia dapat diatasi. Diulangi selain some not too serious differences, Melayu tidak bersengketa sesama sendiri. Lalu apa yang teruk sangat perpaduan Melayu sehingga ada politikus mahu wujudkan payung besarlah, ikatan Melayulah dan macam-macam lagi. Dan ada yang sanggup pergi Siam kerana perpaduan Melayu? Membawa saya kepada Zamir Ghazali.Mungkin ramai yang tidak kenal beliau. Apa pun beliau percaya orang Melayu adalah masyarakat yang sebenarnya berbaik. Bersatu secara am. Realitinya kata beliau sang politikus yang main sentimen untuk memomokkan orang Melayu. “Apa perpaduan Melayu yang mahu diperbetulkan ini? Politikuslah yang seharusnya diperbetulkan”, kata Zamir. Ohh hampir lupa nak beritahu. Zamir ialah ahli jawatankuasa pusat Amanah. Ya beliau orang politik. Oleh itu, he knows what he’s is talking about. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.