TheMalaysiaTime

Kakitangan bank, pelajar antara 8 didakwa sertai ‘Geng Adik Labu Besar’

2026-03-10 - 03:54

Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth tidak membenarkan jaminan kepada lapan tertuduh kerana permohonan jaminan hanya boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Seorang kakitangan bank dan pelajar antara lapan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan terbabit kumpulan jenayah terancang tahun lalu. Nur Alya Nadhira Che Hassan, 22, Nurul Natasha Mohammad Shukri, 23, Muhamad Samerin Shahrom, 35, Mohamed Aizat Rosmadi, 28, Aizal Abuk Bakar, 23, Mohammad Zaini Yusoff, 27, Muhammad Azizi Abd Ghafar, 22 dan Muhamad Fitri Abdul Karim, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Hakim Roslan Hamid. Mereka didakwa menjadi ahli ‘Geng Adik Labu Besar’ antara Mac hingga 16 Okt 2025 di pangsapuri Vista Perdana di Jalan Kampung Gajah, Butterworth. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, V Suloshani kepada semua tertuduh disebabkan kes itu membabitkan keselamatan awam. Sinar Harian melaporkan peguam Manjit Singh Mann yang mewakili Natasha memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin. Hakim bagaimanapun tidak membenarkan jaminan kepada semua tertuduh kerana permohonan jaminan hanya boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi. Kes ditangguh hingga 4 Mei untuk sebutan semula dan serahan dokumen. Sebelum ini, media melaporkan lapan ahli kumpulan jenayah pecah rumah yang aktif melakukan sekurang-kurangnya 42 kes di sekitar Pulau Pinang membabitkan kerugian hampir RM1 juta tumpas susulan operasi khas pada 15 Feb lalu. Kumpulan itu dipercayai aktif sejak 2024 hingga Oktober lalu, dengan semua suspek mempunyai rekod lampau termasuk rompak berkumpulan, pecah rumah, curi dalam bangunan, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan, khianat, memiliki serta melupuskan barangan curi, selain aktiviti penagihan dadah.

Share this post: