TheMalaysiaTime

Kaki lipas dalam pinggan, mengapa tiada tindakan, soal Adun P Pinang

2026-03-26 - 05:51

Adun Batu Uban A Kumaresan berkata, salah seorang kakitangannya jumpa kaki lipas dalam hidangan di sebuah restoran terkenal di Pulau Pinang. (Gambar Facebook A Kumaresan) PETALING JAYA: Seorang Adun menyuarakan rasa kesal tiada tindakan diambil ke atas sebuah kedai makan terkenal di Pulau Pinang susulan dakwaan penemuan kaki lipas di dalam hidangan di restoran tersebut. Adun Batu Uban A Kumaresan berkata, kakitangannya sendiri yang menemukan kaki lipas tersebut dan satu aduan rasmi telah dibuat kepada pihak berkuasa kesihatan serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). “Bagaimanapun, sehingga hari ini dimaklumkan bahawa tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa. Hanya pemeriksaan rutin dijalankan dan pihak berkenaan menyatakan tahap kebersihan restoran tersebut adalah memuaskan, justeru tindakan lanjut tidak dapat diambil. “Persoalannya, mengapa tiada kompaun dikeluarkan dan mengapa restoran tersebut tidak diarahkan tutup?” soalnya dalam akaun Facebook, menambah terdapat gambar jelas menunjukkan kewujudan kaki lipas itu dalam hidangan. Wakil rakyat PKR itu berkata, premis makanan lain yang kurang popular pernah diarah ditutup 14 hari susulan kes yang serupa. Tambahnya, kebersihan makanan merupakan isu kepentingan awam yang amat penting. Ketika dihubungi, Exco Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi berkata, beliau sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut daripada jabatan kesihatan negeri. FMT juga telah menghubungi pihak MBPP untuk mendapatkan komen.

Share this post: