Kajian pilihan raya datuk bandar dijangka siap akhir bulan ini
2026-03-09 - 06:34
Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh berkata Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sedang mengadakan sesi temu bual dengan pihak berkepentingan. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Kajian kebolehlaksanaan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan datuk bandar Kuala Lumpur dijangka selesai hujung bulan ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata kajian yang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu sedang dilaksanakan dan laporan interim telah dibentangkan kepada kerajaan. “Lepas bulan Mac mereka (UIAM) siapkan, jika tidak mereka akan berjumpa dengan kita. Mereka dah berjumpa sekali dan dah ada laporan interim, tetapi sesi temu bual (dengan pihak berkepentingan) masih berjalan. “Itu (pembentangan kepada Jemaah Menteri) belum lagi, saya kena tunggu kajian dulu,” katanya pada sidang media pengukuhan kesedaran keselamatan kebakaran di bangunan strata berketumpatan tinggi Kuala Lumpur, di sini. Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, meminta semua pihak tidak memandang rendah keupayaan universiti awam seperti UIAM untuk melaksanakan kajian berhubung kebolehlaksanaan pilihan raya PBT dan pelantikan batuk bandar Kuala Lumpur. Pada 3 Feb lalu, Yeoh dilaporkan berkata, kajian kebolehlaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota, termasuk pemilihan datuk bandar Kuala Lumpur telah dijalankan sejak pentadbiran menteri Wilayah Persekutuan terdahulu. Katanya, kajian itu bermula Disember lalu susulan rang undang-undang persendirian dikemukakan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.