TheMalaysiaTime

Kabinet bincang cadangan RCI siasat kontroversi Azam, kata PM

2026-02-27 - 07:24

Anwar Ibrahim berkata Kabinet hari ini membincangkan gesaan penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan kontroversi membabitkan Azam Baki. (Gambar Bernama) KAJANG: Anwar Ibrahim mengesahkan Kabinet hari ini membincangkan gesaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki. Dakwaan itu antaranya pemilikan saham pemilikan 17.7 juta saham dengan harga belian RM1.416 juta dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd selain kewujudan ‘mafia korporat’ dalam agensi antirasuah itu. Perdana menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut pendirian kerajaan sebaliknnya memaklumkan kenyataan terperinci berhubung perkara itu akan dikeluarkan kemudian. “Kita (Kabinet) sudah bincang tadi, nanti ada kenyataan,” katanya selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Kajang. Anwar berkata mengulas gesaan pelbagai pihak termasuk DAP supaya kerajaan menubuhkan RCI menyiasat pelbagai dakwaan terhadap Azam serta agensinya. Awal minggu ini, Malaysiakini melaporkan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata penubuhan petugas khas dipersetujui Kabinet untuk menyiasat Azam bagi pemilikan sahamnya, masih belum mencukupi. Menurutnya, ini kerana ada dakwaan berkaitan ‘mafia korporat’ yang kerajaan perlu menubuhka RCI untukk menyiasatnya. “Kami mula mengemukakan cadangan ini dalam mesyuarat Kabinet lalu dan akan terus mendesaknya. Ini pendirian DAP,” kata menteri pengangkutan itu. Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu. Perkara itu dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah. Azam menafikan dakwaan itu dan telah menyaman Bloomberg bagi ganti rugi berjumlah RM100 juta. Agensi berita antarabangsa itu turut melaporkan dakwaan sebahagian pegawai SPRM terlibat dalam satu rangkaian digelar ‘mafia korporat’ yang kononnya terlibat dalam pengambilalihan syarikat. SPRM telah menafikan dakwaan itu.

Share this post: