Kabinet arah siasat dakwaan pegawai SPRM terbabit pakatan ambil alih syarikat
2026-03-11 - 10:35
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya jika perlu, termasuk meneliti undang-undang bagi mengenal pasti sebarang kelompongan yang boleh membolehkan manipulasi korporat berlaku. PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini mengarahkan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat dalam pakatan memaksa pengambilalihan syarikat, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil. Fahmi berkata keputusan itu dibuat selepas menteri diberikan taklimat mengenai laporan media berhubung perkara tersebut. “Mesyuarat dimaklumkan bahawa siasatan terhadap beberapa individu (berkaitan manipulasi pengambilalihan korporat) telah bermula beberapa tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini. Fahmi berkata arahan itu melibatkan polis, Suruhanjaya Sekuriti, SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya meneruskan siasatan secara menyeluruh tanpa mengehadkan skop kepada individu yang sedang disiasat ketika ini. Beliau berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya jika perlu, termasuk menyita hasil yang dipercayai mempunyai unsur jenayah serta meneliti undang-undang bagi mengenal pasti sebarang kelompongan yang mungkin membolehkan manipulasi korporat berlaku. Laporan Bloomberg sebelum ini mendakwa pegawai SPRM merupakan sebahagian daripada pakatan yang menyediakan ‘perkhidmatan’ ugutan seperti serbuan bagi memberi tekanan kepada eksekutif perniagaan supaya menjual pegangan saham mereka. Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan laporan tersebut. Fahmi turut mengesahkan bahawa Jemaah Menteri telah menerima dan membincangkan laporan jawatankuasa khas yang menyiasat dakwaan pemilikan saham melibatkan Azam. “Tindakan lanjut akan diambil oleh ketua setiausaha negara. Saya tidak akan mendedahkan kandungan laporan itu. Kita akan menunggu kenyataan daripada ketua setiausaha negara,” katanya. Ketika ditanya sama ada Jemaah Menteri membincangkan mengenai lanjutan kontrak Azam, beliau berkata: “Ia tidak dibincangkan.” Tindakan tegas terhadap isu 3R Fahmi, yang juga menteri komunikasi, berkata Jemaah Menteri turut membincangkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang dilaporkan baru-baru ini dan menjadi perdebatan meluas di media sosial. Beliau berkata Jemaah Menteri mengarahkan agensi kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara supaya bertindak tegas terhadap pihak yang melakukan kesalahan. “Jika terdapat kelompongan dalam undang-undang sedia ada yang membolehkan pihak tertentu mengabaikan tindakan penguatkuasaan termasuk perintah reman, adalah wajar undang-undang itu disemak dan dipinda atau undang-undang baharu diperkenalkan,” katanya. Beliau berkata butiran lanjut mengenai tindakan yang akan diambil akan diumumkan tidak lama lagi oleh peguam negara.