Jurutera, pemandu p-panggilan ditahan seludup senjata api tiruan
2026-03-17 - 04:43
Ketua Polis Kubang Pasu Mohd Radzi Abdul Rahim berkata senjata api tiruan itu dibeli di sekitar Hatyai dengan kos keseluruhan dianggarkan RM6,500. PETALING JAYA: Seorang jurutera dan pemandu p-panggilan ditahan bersama bebola keluli, lapan pistol serta dua senapang tiruan. Ketua Polis Kubang Pasu, Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata suspek berusia 27 dan 21 tahun itu ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 6 petang Sabtu lalu. Menurutnya, satu laras Carbine model M4A1 bersama kelopak serta satu laras senjata api tiruan model N4 ditemui bersama kelopak di bawah kerusi pemandu dan penumpang dalam Perodua Myvi dinaiki mereka. Beliau berkata, pemeriksaan di bonet belakang pula menemui lapan kotak pistol tiruan bersama kelopak, tiga kotak kelopak model M4A1, sekotak kelopak AAP-01 dan dua bungkus plastik berisi peluru manik. “Enam bungkus plastik bersaiz kecil berisi peluru manik dan 10 botol gas berwarna hitam dan biru turut ditemui dalam kereta terbabit,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPD Kubang Pasu, Jitra. Jelasnya, jurutera kilang itu dipercayai menyertai satu kumpulan di Telegram dan menemui beberapa pembeli pistol tiruan, sebelum mengajak rakannya ke Thailand pada 13 Mac lalu serta pulang ke Malaysia keesokannya. Katanya, senjata api tiruan itu dibeli di sekitar Hatyai dengan kos keseluruhan dianggarkan RM6,500. “Suspek dipercayai pernah membeli senjata api itu untuk kegunaan sendiri, tetapi selepas mengiklankan di Telegram, barulah dia berani melakukan kegiatan itu.” Beliau berkata, dua suspek dari Pulau Pinang itu direman hingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.