TheMalaysiaTime

Jurugambar rakam kenangan Raya, bantu keluarga abadikan kenangan

2026-03-23 - 23:10

Tan Chi Yin percaya potret keluarga adalah cara bermakna untuk merakam kenangan yang kekal abadi. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT Lifestyle) KUALA LUMPUR: Hari Raya Aidilfitri adalah waktu untuk berkumpul beramai-ramai. Inilah saat keluarga pulang ke kampung, suasana rumah meriah dengan gelak tawa dan masing-masing mengenakan pakaian cantik sempena Aidilfitri selepas sekian lama tidak bertemu. Kunjungan, makanan, dan detik tenang saling bermaafan – inilah saat yang ingin dikenang ramai orang. Bagi Tan Chi Yin, itulah yang cuba dilakukan melalui kerjayanya. Sejak enam tahun lalu, jurugambar kelahiran Kuantan itu menghabiskan musim perayaan dengan bergerak dari satu rumah ke rumah lain, merakam keluarga dalam keadaan paling gembira dan rapat. “Hari Raya adalah antara waktu dalam setahun apabila semua orang berkumpul dengan penampilan terbaik. Jadi, ini memang masa paling sesuai untuk merakam potret,” kata wanita berusia 36 tahun itu kepada FMT Lifestyle. Lebih daripada sekadar gambar bergaya, sesi bergambar Tan menjadi sebahagian daripada sambutan itu sendiri. Ada keluarga yang kembali setiap beberapa tahun, menjadikan foto sebagai rekod masa – anak-anak semakin membesar, ibu bapa semakin berusia, rumah turut berubah. “Mengambil gambar ini memang pengalaman yang menyentuh hati. Seronok melihat perkembangan mereka dan melihat betapa besarnya anak-anak mereka,” tambahnya. Pelanggan dialu-alukan untuk berkunjung ke studionya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Namun, jika berpeluang, Tan lebih gemar merakam keluarga di kediaman mereka sendiri. Ia bukan sekadar soal untuk memudahkan mereka. “Potret ini cara terbaik untuk menyimpan kenangan. Saya suka melihat keluarga mengimbau gambar lama dan berkata, ‘Oh, ingat tak ini rumah lama kita?’ atau ‘Ingat tak kita pernah ada pondok di luar rumah?’ “Ia sangat menyentuh hati,” katanya. Menurut Tan, suasana rumah sering menghasilkan saat spontan: anak-anak bermain di ruang yang biasa, ibu bapa selesa dengan suasana sendiri. Ada keluarga yang menggayakan tradisi Raya dalam sesi bergambar, seperti saat bermaafan, ketawa di meja makan atau sekadar duduk bersama di ruang tamu. Pelanggan sering menghidupkan semula tradisi Raya yang menyentuh hati, seperti bersalaman memohon maaf. (Gambar Tan Chi Yin) Tan sering menggalakkan interaksi kecil seperti ini supaya gambar terasa lebih hidup dan tidak terlalu dibuat-buat. Kadangkala, dia turut memasukkan aktiviti kegemaran keluarga, sama ada ibu bapa mewarna bersama anak-anak atau meluangkan masa di luar rumah. Matlamatnya sentiasa sama – memastikan semua orang berasa selesa. Menurut Tan, potret yang baik bermula sebelum kamera dihidupkan. Dengan berbual terlebih dahulu, dia membantu keluarga memahami sesi tersebut supaya mereka lebih santai. Kadangkala persediaan itu menjadi sesuatu yang tidak dijangka. Tan ketawa mengenangkan dia pernah membantu menggosok baju Raya sebelum bergambar supaya semuanya tampak sempurna. Tan membuat persiapan untuk sesi penggambaran di studionya di Bukit Jalil. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT Lifestyle) Bagi sesetengah ahli keluarga, ia mengambil masa untuk menyesuaikan diri. “Pernah ada seorang bapa yang sangat malu untuk senyum dan bergaya pada awalnya. Tetapi lama-kelamaan, dia mula mencadangkan pertukaran pakaian dan sudut gambar,” katanya. “Apabila tiba tahun berikutnya, dialah yang mencadangkan untuk buat sesi bergambar lagi!” Tan juga pernah dijemput makan selepas sesi bergambar, sekali gus menjadi sebahagian kecil daripada sambutan Raya keluarga tersebut. Namun satu pengalaman paling dekat di hatinya ialah projek di Kelantan, di mana dia merakam keluarga yang kehilangan rumah akibat banjir – bersama kenangan gambar lama mereka. Katanya, ia sangat menyentuh perasaan apabila dia dapat membantu mereka mencipta kenangan baharu. Sebahagian pelanggan Tan menjadi rakan baik, seperti Dr Nor Zaini, yang dirakam bersama keluarganya.(Tan Chi Yin pic) Ada pelanggan turut menjadi rakan baik seperti Suzanne, seorang penulis skrip, dan Dr Nor Zaini, perunding kesejahteraan, yang memberi kebenaran untuk berkongsi potret keluarga mereka. Nor mengambil gambar keluarga pertamanya dengan Tan pada 2024. “Hari Raya adalah sambutan paling istimewa setiap tahun dan gambar membantu mengekalkan kenangan. “Merakam semua ahli keluarga bersama benar-benar menonjolkan semangat perayaan,” katanya kepada FMT Lifestyle. Dia berharap dapat mengulanginya setiap beberapa tahun, terutama bagi meraikan ahli keluarga baharu. Bagi Tan, kerjanya mungkin nampak sederhana, tetapi sangat bermakna – satu cara untuk menyimpan detik yang cepat berlalu. “Anda benar-benar dapat merasai kegembiraan dan kehangatan dalam kalangan ahli keluarga apabila mereka berkumpul untuk gambar Raya,” katanya. “Ada antara mereka kini tinggal berjauhan dan melihat mereka bertemu semula sangat menggembirakan. Saya gembira dapat menyumbang kepada sambutan mereka, walaupun dengan cara kecil ini.”

Share this post: