JPPM boleh ambil tindakan jika mansuh jawatan pengerusi PN, kata Takiyuddin
2026-01-29 - 06:31
Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata jawatan pengerusi gabungan itu tidak boleh diubah kerana termaktub dalam perlembagaannya. PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) berisiko dikenakan tindakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) jika memansuhkan jawatan pengerusi gabungan itu, kata Timbalan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan. Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata, jawatan itu tidak boleh diubah kerana termaktub dalam perlembagaan PN. “Pendirian PAS jelas berdasarkan surat Presiden PAS (Hadi Awang), kami mahu struktur PN kekal sebagaimana dalam Perlembagaan. “Tak boleh diubah, kalau diubah ia tindakan tidak berperlembagaan. Mungkin tindakan boleh diambil pihak berkuasa, terutama JPPM,” katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen PAS dan Bersatu di Parlimen. Semalam, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mendakwa parti itu bersama PAS mencapai persetujuan memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian penstrukturan semula gabungan itu, menurut surat bertarikh 27 Jan lalu. Katanya, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala PAS mengetuai jawatankuasa eksekutif. Tetapi, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menafikannya dengan menegaskan parti itu hanya setuju memperkasakan majlis presiden ketika ini. Takiyuddin turut memaklumkan pihaknya tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap semua butiran terkandung dalam surat itu, khususnya berkaitan cadangan pembentukan majlis presiden PN dan pemansuhan jawatan pengerusi PN. Sementara itu, Takiyuddin sekali lagi mengesahkan pertemuan pemimpin PAS yang diketuai Hadi dengan Muhyiddin pada 16 Jan lalu langsung tidak membincangkan kedudukan pengerusi PN dan pemansuhan jawatan tertinggi itu. Beliau berkata, Hadi tidak akan bersetuju dengan cadangan memansuhkan jawatan itu. “Ia mesti kekal sebagaimana ada dalam Perlembagaan.” Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata beliau tidak dijemput ke mesyuarat pra-majlis di rumah Muhyiddin malam ini. “Jemput pun tidak, macam mana nak hadir?” katanya ringkas ketika ditanya sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat itu. Sebelum ini, media melaporkan ketua empat parti komponen PN akan mengadakan pertemuan di kediaman Muhyiddin dan difahamkan ia mesyuarat awal bagi ‘menentukan hala tuju’ sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN serta melantik penggantinya.