TheMalaysiaTime

JPJ gantung tugas 2 anggota terbabit nahas maut, potong garisan berkembar

2026-03-23 - 23:30

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli mengesahkan insiden potong garisan berkembar di Jalan Raya Timur Barat dan kemalangan maut di Tanah Merah membabitkan kenderaan serta anggota sama, tetapi berlaku pada hari berbeza. (Gambar JBPM) IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung serta-merta tugas dua anggotanya sementara siasatan dijalankan berhubung dua insiden membabitkan kenderaan jabatan itu, termasuk kemalangan maut di Tanah Merah, Jumaat lalu. Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata satu lagi insiden berkaitan video tular menunjukkan kenderaan JPJ memotong di garisan berkembar, dengan kedua-dua insiden itu membabitkan kenderaan dan anggota sama. “Insiden pertama melibatkan video tular kenderaan JPJ melanggar (memotong) garisan berkembar di Jalan Raya Timur Barat, yang berada di bawah bidang kuasa siasatan dalaman jabatan. “Bagi kes ini, kita telah gantung tugas anggota terlibat dan menghantar pasukan untuk menjalankan siasatan dalaman. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan siasatan,” katanya selepas memantau Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pusat Kawalan Menora, di sini, malam tadi. Beliau berkata, insiden kedua ialah kemalangan maut di KM85.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli berhampiran Kampung Rahmat, Bukit Bunga, Tanah Merah, Jumaat lalu membabitkan kenderaan JPJ dan sebuah Perodua Myvi. “Kes ini kita serah sepenuhnya kepada polis untuk siasatan lanjut dan JPJ tidak terlibat dalam siasatan tersebut, namun kita boleh sahkan kedua-dua insiden melibatkan kenderaan dan anggota sama pada hari berbeza. “Timbul kekeliruan dalam kalangan netizen mengaitkan kedua-dua kejadian itu berlaku pada hari sama dan spekulasi mengatakan ia berlaku pada hari sama adalah tidak tepat.” Menurutnya, kedua-dua anggota itu akan ditempatkan di ibu pejabat JPJ sepanjang tempoh penggantungan bagi tujuan siasatan lanjut. “JPJ memberi jaminan siasatan dalaman akan dilaksanakan secara telus tanpa melindungi mana-mana anggota yang didapati melakukan kesalahan.” Terdahulu, insiden berkenaan mencetuskan perhatian umum selepas video kenderaan JPJ memotong di garisan berkembar tular di media sosial, selain kemalangan maut membabitkan kenderaan jabatan itu.

Share this post: