TheMalaysiaTime

Johor tak perjudi nasib rakyat demi pelaburan besar, kata MB

2026-03-10 - 07:14

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Pusat Data Negeri hanya lulus pembangunan pusat data Tier 3 dan 4 guna teknologi penyejukan tidak memerlukan banyak air. (Gambar Bernama) JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor tidak akan meluluskan sebarang projek, termasuk pembangunan data sekiranya ia membawa kesengsaraan kepada rakyat, kata Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi. Beliau berkata, sebagai kerajaan bertanggungjawab, pihaknya tidak akan memperjudikan nasib rakyat demi mendapatkan pelaburan besar dan kerajaan akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan. “Kita tidak akan sesekali membiarkan rakyat sengsara dengan membuat keputusan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam temu bual bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarangnya, Arul Rajoo Durar Raj di kediaman rasminya di sini, baru-baru ini. Jelasnya, beliau sedar isu bekalan air dan elektrik sering menjadi polemik kerana Johor menjadi tumpuan syarikat asing untuk membangunkan pusat data yang menimbulkan persoalan lonjakan penggunaan utiliti bagi operasi kemudahan itu. Tetapi, beliau berkata, kerajaan negeri dan persekutuan telah meneliti pelan perancangan bekalan air Johor secara menyeluruh, merangkumi projek jangka pendek, sederhana dan panjang sebagai langkah strategik memastikan bekalan air Johor kekal stabil. Adun Machap itu berkata, 38 projek membabitkan peruntukan RM15.3 bilion akan dilaksanakan bagi memperkukuhkan usaha jaminan bekalan air di Johor, sekali gus menyokong keperluan rakyat serta pertumbuhan pesat sektor industri dan pelaburan di negeri itu. Berhubung pembinaan pusat data, katanya, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Pusat Data Negeri akan menilai permohonan pembangunan pusat data serta melihat keperluan air dan elektrik syarikat terbabit. Tegasnya, jawatankuasa itu hanya meluluskan pembangunan pusat data bertaraf Tier 3 dan Tier 4 menggunakan teknologi penyejukan tidak memerlukan air yang banyak. “Pusat data kalau dia memerlukan penggunaan air yang tinggi, kami tidak akan meluluskannya.” Onn Hafiz berkata, isu air dan pusat data itu timbul susulan dakwaan gangguan bekalan air di Simpang Renggam serta Benut baru-baru ini ada kaitan pembangunan pusat data, sedangkan tiada pusat data yang beroperasi di kawasan terbabit. “Rayuan saya kepada rakyat Bangsa Johor, kita kena hati-hati bila dengar berita dan hasutan tidak bertanggungjawab, maklumat mesti kita ‘vet through’ (saring) sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya sambil menambah beliau terpanggil menjelaskan isu itu kerana khuatir pelabur kurang senang. “Perkara seperti ini akan ada impak kepada pelabur yang masuk ke negeri ini, kalau mereka (pelabur) percaya apa yang diuar-uarkan, mereka akan tarik ‘handbrake’ dan tidak masuk ke Johor. “Sebab itu saya memilih untuk bersuara kerana saya hendak bagi keyakinan bukan saja kepada rakyat Bangsa Johor, tetapi juga pelabur yang ingin melabur di Johor. Kita perlu terus wujudkan keyakinan, itu yang paling penting.” Johor muncul peneraju pelaburan pusat data negara dengan 42 projek bernilai RM164.45 bilion diluluskan setakat suku kedua 2025. Perkembangan itu turut menyumbang kira-kira 7.8% kapasiti teknologi maklumat operasi Malaysia, selain mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan kira-kira 60% kapasiti pusat data negara disasarkan tertumpu di Johor menjelang 2030. Tahun lalu, kerajaan Johor dilapor menghentikan kelulusan baharu bagi pembangunan pusat data bertaraf Tier 1 dan Tier 2.

Share this post: