Johari sahkan perjanjian perdagangan Malaysia-AS batal
2026-03-15 - 07:44
Johari Ghani berkata AS kini bergantung kepada Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 negara itu bagi kenakan tarif sementara 10% ke atas negara yang didapati langgar peraturan perdagangan antarabangsa. PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani mengesahkan bahawa perjanjian perdagangan timbal balik (ART) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak lagi terpakai. Beliau berkata ia susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan tarif yang dikenakan Presiden Donald Trump menyebabkan perjanjian tersebut terbatal dan tidak sah, lapor Utusan Malaysia. “Ia bukan dalam status tertunda. Ia tidak wujud, ia batal dan tiada kesan. Mahkamah Agung AS telah membuat keputusan bahawa jika mahu mengenakan tarif, mereka mesti ada sebab. “Jika mereka mendakwa ia kerana lebihan perdagangan mereka mesti nyatakan industri yang terlibat. Mereka tidak boleh mengenakan tarif secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita pada Program Sumbangan Aidilfitri 2026 di Padang Blok B7, Desa Pandan. Beliau berkata AS kini bergantung kepada Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 negara itu, yang memberikannya kuasa untuk mengenakan tarif sementara sebanyak 10% ke atas negara-negara yang didapati melanggar peraturan perdagangan antarabangsa. Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menandatangani perjanjian perdagangan tersebut pada Oktober lalu, semasa lawatan Presiden AS itu ke Kuala Lumpur sempena sidang kemuncak Asean. Bulan lepas, empat Ahli Parlimen PKR menggesa Putrajaya supaya segera menangguhkan semua langkah dan proses untuk meratifikasi ART susulan keputusan Mahkamah Agung AS tersebut. Perjanjian itu mengekalkan tarif sebanyak 19% ke atas barangan Malaysia, namun produk tertentu menikmati tarif sifar di bawah senarai perdagangan rakan kongsi. Trump sejak itu menyatakan beliau akan mengenakan tarif global sebanyak 15% bagi menggantikan tarif yang dibatalkan oleh mahkamah, selepas pada mulanya mengumumkan levi sebanyak 10% ke atas semua barangan yang memasuki AS. Semalam, Johari dilaporkan berkata bahawa Malaysia berdepan tindakan perdagangan oleh AS jika siasatan di bawah undang-undang domestik negara itu, yang membenarkan pengenaan tarif import, mendapati berlaku pelanggaran peraturan perdagangan antarabangsa. Beliau berkata siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974. Selain itu, Seksyen 122 akta yang sama membenarkan kadar tarif sementara sebanyak 10% dikenakan ke atas barangan import. AS pada Rabu memulakan siasatan terhadap tindakan, dasar, dan amalan dalam 15 rakan dagang, termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah, di bawah Seksyen 301(b) berkaitan lebihan kapasiti struktur dan pengeluaran dalam sektor pembuatan. Keesokan harinya, wakil perdagangan Jamieson Greer berkata AS telah melancarkan siasatan ke atas 60 buah negara di bawah seksyen akta yang sama, yang diwujudkan antara lain untuk menangani kegagalan mengambil tindakan terhadap buruh paksa.