TheMalaysiaTime

JKM arah tutup sementara taska di Hospital Seberang Jaya

2026-03-11 - 07:06

JKM memaklumkan tindakan itu diambil di bawah Perenggan 16(1)(a) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 selepas menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengarahkan sebuah taska di Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang ditutup sementara susulan kematian seorang bayi lelaki ketika berada di bawah jagaan di premis itu, Isnin lalu. JKM memaklumkan tindakan itu diambil di bawah Perenggan 16(1)(a) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 selepas menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. “JKM mengambil maklum bahawa kes ini dalam siasatan polis dan akan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan. Katanya, siasatan turut meliputi pemeriksaan pematuhan premis terhadap syarat pendaftaran serta peraturan pengoperasian taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984. Menurut JKM, setiap taska yang berdaftar di bawah akta itu perlu mematuhi peraturan ditetapkan termasuk melibatkan kelayakan pengasuh dan prosedur keselamatan kanak-kanak. Pada 9 Mac lalu, Hayl Haarith Mohd Syafaeez yang berusia empat bulan dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan pengasuh di taska berkenaan. Susulan itu, polis menahan reman selama tujuh hari dua pekerja taska itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.

Share this post: