TheMalaysiaTime

Jika tiada maklum balas, PN anggap MIC tolak jadi komponen ke-5

2026-03-28 - 07:40

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, berkata penolakan MIC jika diputuskan parti itu untuk menjadi komponen PN tidak memberi kesan besar. PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan menganggap MIC menolak penyertaan dalam gabungan itu jika tiada sebarang maklum balas rasmi diberikan dalam masa terdekat. Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya telah memberikan ruang kepada MIC untuk membuat pengesahan sama ada menerima atau menolak tawaran menyertai PN, namun tempoh tersebut tidak akan dibiarkan berlarutan. “MIC nak balas surat pun boleh, nak buat kenyataan pun boleh, tetapi jika tiada respon segera, kita anggap mereka menolak. “Cuma kita hairan MIC kata buat masa ini mereka kekal dengan BN (Barisan Nasional) itu kena tanya dengan MIC, apa maksud mereka,” katanya menurut Sinar Harian. Menurutnya, Presiden MIC S A Vigneswaran telah mengemukakan surat rasmi bertarikh 15 Nov 2025 kepada pengerusi PN ketika itu Muhyiddin Yassin, bagi memohon untuk diterima sebagai ahli gabungan. Katanya, permohonan tersebut juga jelas, malah menggunakan perkataan ‘diterima masuk semula’ kerana MIC menganggap mereka antara pengasas PN. Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen kota Bharu, berkata permohonan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat PN pada 9 Dis sebelum diluluskan, sekali gus menjadikan MIC sebagai parti anggota kelima selepas PAS, Bersatu, Gerakan, dan Parti India Malaysia (MIPP). Tambahnya, keputusan itu kemudian disahkan dalam mesyuarat pada 14 Mac lalu sebelum surat tawaran rasmi dihantar kepada MIC pada 23 Mac. Namun, Takiyuddin memberitahu, MIC menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada 25 Mac memutuskan untuk tidak menerima tawaran tersebut, walaupun tiada maklum balas rasmi dikemukakan kepada PN. “Kalau mereka tidak mahu terima, tidak mengapa. PN bukan untuk dijual. Sesiapa yang mahu menyertai perlu memohon, dan yang tidak mahu, itu pilihan mereka,” katanya. Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata keputusan MIC itu tidak menjejaskan kekuatan PN memandangkan gabungan berkenaan sebelum ini berjaya meraih 74 kerusi Parlimen tanpa penyertaan parti tersebut. “Mereka hanya ada satu Ahli Parlimen, jadi tidak beri kesan besar kepada PN. Jika mereka mahu kekal dengan BN, itu pilihan mereka dan PN tiada masalah,” katanya. Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan PN turut menerima beberapa permohonan daripada parti politik lain yang berminat untuk menyertai gabungan berkenaan dan kini dalam proses penelitian.

Share this post: