TheMalaysiaTime

Jawatankuasa teknikal untuk stabil harga barangan asas di Malaysia Timur ditubuh

2026-02-26 - 09:34

Jawatankuasa kerja teknikal ditubuh bagi mencapai agenda kestabilan harga dan keterjaminan bekalan barangan asas di Malaysia Timur. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh usaha memastikan kestabilan harga dan keterjaminan bekalan barangan asas di Sabah, Sarawak dan Labuan melalui penubuhan Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) Penstabilan Harga. Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Labuan bilangan 1 bagi tahun 2026, yang dipengerusikan beliau hari ini. Mesyuarat itu membincangkan beberapa perkara penting yang diharapkan dapat mencapai matlamat bagi memastikan kualiti hidup rakyat dapat dioptimum sebaik mungkin. “Saya percaya komitmen pengerusi daripada wakil kerajaan persekutuan dan pengerusi bersama daripada wakil kerajaan negeri dalam mesyuarat TWG yang diadakan tahun lepas dapat mencapai agenda kestabilan harga dan keterjaminan bekalan barangan asas di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya di Facebook. Mesyuarat dihadiri Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Amrizan Ali; Menteri Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Mustapha Sakmud; Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datul Julita Mojungki; serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Lo Su Fui. Berdasarkan mesyuarat sebelum ini, jawatankuasa bersetuju menubuhkan TWG Penstabilan Harga dengan tujuan utama memperkukuh koordinasi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam menangani isu berkaitan. Langkah itu diambil sebagai usaha berterusan kerajaan bagi memastikan rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan mendapat bekalan barangan asas mencukupi pada harga yang stabil.

Share this post: