TheMalaysiaTime

Jawatan teknikal MTPMA63 bincang isu pendidikan, kesihatan

2026-03-07 - 12:33

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa teknikal di bawah MTPMA63 bermesyuarat pada 2 Mac lepas, dengan kehadiran menteri persekutuan serta pemimpin kanan Sabah dan Sarawak. (Gambar Bernama) KUCHING: Isu pendidikan dan kesihatan antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 2 Mac lepas. Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, pada mesyuarat yang turut dihadiri oleh wakil kerajaan Sarawak dan Sabah itu, beberapa perkara juga telah dipersetujui. Bagaimanapun, katanya, perkara yang dipersetujui itu belum boleh diumumkan kerana harus dibawa dan diluluskan pada mesyuarat lebih tinggi yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim nanti. “Mesyuarat (MTPMA63) ini hanya peringkat teknikal dan perkara dipersetujui akan kita bawa ke peringkat tertinggi untuk pengesahan. Masa itu baru saya boleh umum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan zakat dan pek makanan. “Mesyuarat (bersama perdana menteri) belum ada tarikh lagi tetapi biasanya kita akan buat dua kali setahun. Jadi diharap kita akan dapat adakan secepat mungkin, antara Mei atau Jun.” Pada 2 Mac lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 telah berlangsung di Bangunan Parlimen, dipengerusikan Fadillah. Mesyuarat tersebut bertujuan mendapatkan maklum balas daripada kementerian dan agensi persekutuan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak berkaitan semua perkara yang masih belum selesai, termasuk hala tuju yang boleh diambil berhubung isu dibangkitkan. Mesyuarat itu menyaksikan kerajaan persekutuan diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud bersama beberapa menteri persekutuan lain. Sementara itu, kerajaan Sarawak diwakili ketiga-tiga timbalan premier iaitu Douglas Uggah Embas, Awang Tengah Ali Hasan dan Dr Sim Hui Hian. Kerajaan Sabah juga diwakili ketiga-tiga timbalan ketua menteri iaitu Joachim Gunsalam, Masidi Manjun dan Ewon Benedick.

Share this post: