Jangan sampai dibuli PAS, pemimpin Umno ingatkan MIC
2026-03-26 - 04:11
Puad Zarkashi berkata penyertaan MIC dalam PN juga tidak menjamin kestabilan kepada parti itu, malah berpotensi meletakkan mereka dalam kedudukan lemah. PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno mengingatkan MIC supaya tidak sampai ‘dibuli’ PAS seperti mana didakwa berlaku terhadap Bersatu sekiranya parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN). Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata tindakan PAS mengekalkan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang adalah satu helah untuk membuli Bersatu. “Lihat sahaja cara PAS membuli Bersatu seperti muslihat mereka kekalkan Hamzah yang tidak berparti sebagai ketua pembangkang,” katanya di Facebook. Puad berkata, penyertaan MIC dalam PN juga tidak menjamin kestabilan kepada parti itu, malah berpotensi meletakkan mereka dalam kedudukan lemah. “Apatah lagi jika MIC sertai PN yang berpecah. MIC tidak selamat,” katanya. Sementara itu, beliau berkata berdasarkan sumber dalaman yang dipercayai, kira-kira 95% anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang bermesyuarat semalam memutuskan parti itu kekal bersama BN. Katanya, keputusan itu selari dengan kehendak majoriti ahli MIC di peringkat akar umbi dan wajar dihormati oleh kepimpinan tertinggi parti. “Lagi pun MIC turut menyertai retreat BN yang diadakan bulan Febuari lepas. Itu petanda awal MIC akan kekal dalam BN. “Justeru kepimpinan utama MIC iaitu presiden MIC perlu konsisten dan ikut keputusan majoriti demi kebangkitan MIC dan kesatuan BN. Jika tidak MIC akan berpecah dan tinggal sejarah,” katanya. Semalam Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata parti itu akan kekal dalam BN buat masa ini namun dalam masa yang sama masih berteka-teki sama ada ia akan menyertai gabungan pembangkang selepas ini. Saravanan berkata perkembangan dalam PN memerlukan parti itu menilai semula kedudukannya. Tambahnya lagi, MIC tidak menolak PN secara mutlak, sambil menyatakan bahawa perbincangan sebelum ini berlaku di bawah kepimpinan yang berbeza. Isu sama ada MIC meninggalkan BN timbul sejak sekian lama khususnya selepas perhimpunan agung parti pada November apabila perwakilan memberi mandat kepada kepimpinan mempertimbangkan langkah itu.